Berita

“Hakim lebih takut kepada pemerintah dari berkata benar”

SUNGAI BULOH, 12 FEB: “Hanya nama sahaja Melayu dan Islam. Tetapi hakim mahkamah lebih takut kepada pemerintah dari berkata benar.

“Mereka boleh penjarakan Anwar, tetapi bukan semangat kami. Ini adalah permulaan perjalanan panjang yang kita tidak tahu berapa lama.

“Namun, malam ini adalah langkah bermakna untuk kita bermula bagi perjuangan menuntut kebebasan.

Demikian ucapan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dalam perhimpunan nyalaan lilin ‘Solidariti Bersama Anwar Ibrahim’ di hadapan Penjara Sungai Buloh malam tadi.

Di hadapan ratusan penyokong, Setiausaha Agung PKR itu mengingatkan, gerakan Reformasi yang bermula pada 1998 selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi pendidikan politik langsung kepada rakyat Malaysia.

Justeru itu katanya, pemenjaraan kedua keatas Anwar kali ini dari kes fitnah yang sama akan membuka mata generasi muda hari ini selain memberi kesedaran politik baru.

“Sebab itu kita jangan takut. Perjuangan kita adalah bagi menuntut negara yang bebas dari kemiskinan, yang bebas dari rasuah dan adu domba yang melaga-lagakan kita.

“Ketika itu semua pemimpin UMNO lari. Mana Hishamuddin Hussein, Muhyiddin Yassin dan Zahid Hamidi? Tidak ada.

“Hanya orang-orang biasa seperti kita yang menyokong,” kata Rafizi dengan nada yang agak emosional.

Kata Rafizi, perjuangan selama 16 tahun tidak akan pudar, malah terus menjadi lambang suara rakyat tertindas.

Ujarnya, makna kepada perjuangan membebaskan Anwar adalah melalui kebebasan rakyat dari cengkaman pentadbiran UMNO-BN.

“Saya yakin, walau jasad (Anwar) dipenjara, tetapi jiwa bebas. Manakala kit a dliar ini, perlu istiqamah dalam perjuangan,” kata Rafizi. – Roketkini.com