Berita

Laungan ‘Reformasi’ bergema di luar penjara Sungai Buloh

SUNGAI BULOH, 12 FEB: Laungan ‘Reformasi’, ‘Bebas Anwar’ dan ‘Hidup Rakyat’ bergema di luar Penjara Sungai Buloh, tempat di mana Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalani hukuman penjara.

Kira-kira 500 peserta himpunan dari pelbagai bangsa dan peringkat umur berhimpun dihadapan Penjara Sungai Buloh mulai jam 9 malam tadi, dengan masing-masing turut menyalakan lilin, simbolik kematian sistem kehakiman negara.

Pihak polis turut meletakkan kawat berduri merintangi laluan utama ke pintu masuk kompleks penjara, selain menempatkan anggota berpakaian preman bersama kira-kira 30 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bagi memantau keadaan.

Manakala kenderaan yang melalui jalan utama di hadapan Penjara Sungai Buloh turut membunyikan hon, selain melaungkan perkataan ‘Reformasi’ sebagai tanda sokongan kepada peserta yang berhimpun.

“Apakah mereka fikir dengan memenjarakan Anwar akan memecahkan Pakatan Rakyat? Mereka silap. Sama ada arahan diberi oleh pimpinan parti politik atau tidak, rakyat Malaysia akan terus berhimpun,” kata Ketua Penerangan Pemuda PAS, Nasaie Ismail dalam ucapannya.

“Jangkaan Najib salah. Sama ada dia mengugut dengan menggunakan Akta Hasutan untuk menakutkan kita, dia silap. Najib akan jatuh lebih awal sebelum pilihan raya umum ke-14,” kata Nasaie bersemangat disambut laungan ‘Reformasi’.

Diatas sebuah pacuan empat roda, pimpinan Pakatan Rakyat bergilir-gilir menyampaikan ucapan, antaranya Datuk Johari Abdul, Ahli Parlimen Sungai Petani.

“Kesalahan yang dilakukan Anwar adalah kerana melawan Umno dan Barisan Nasional. Sedangkan kita tahu, begitu banyak jasa yang dilakukan Anwar kepada rakyat Malaysia, termasuklah kepada kakitangan awam sendiri.

“Perjuangan beliau tidak lain, hanyalah kerana ingin membela kita semua, rakyat Malaysia,” kata Johari disambut tepukan gemuruh peserta himpunan.

Dalam pada itu, Ehsan, anak lelaki tunggal Anwar turut menyampaikan pesanan mewakili keluarganya.

“Terima kasih kepada kamu semua yang hadir. Kerana perhimpunan ini bukan sahaja sebagai solidariti kepada ayah saya, tetapi tetapi peringatan kepada sistem kehakiman negara (yang pincang), ujar Ehsan ringkas.

Selepas diumumkan secara rasmi oleh penganjur, perhimpunan yang berlangsung kira-kira dua jam itu berakhir tanpa sebarang kejadian tidak diingini.  – Roketkini.com