Berita

Najib didesak isytihar harta, jelaskan kekayaan melampau keluarganya

PETALING JAYA, 12 FEB: Kekayaan melampau keluarga Perdana Menteri Najib Tun Razak seperti yang didedahkan New York Times wajib dijelaskan dengan pengisytiharan harta, kata Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua.

Tony dalam kenyataannya hari ini mempersoalkan kekayaan luar biasa keluarga terdekat Najib yang menurutnya tidak masuk akal dengan gaji Perdana Menteri yang tidak sampai 500,000 setahun.

“Pendedahan (oleh NYT, 8 Februari) telah membangkitkan kekayaan luar biasa keluarga terdekat Najib sehingga menimbulkan persoalan bagaimana kekayaan itu telah dikumpul.

“Laporan itu membangkitkan beberapa keping foto yang menunjukkan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor membimbit sekurang-kurangnya sembilan beg Birkin berlainan yang biasanya berharga antara RM32,000 dan RM530,000 setiap satu,” ujar Tony.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, kemewahan yang dikaitkan dengan keluarga Najib adalah luar biasa walaupun setelah mengambil kira kenyataan Jabatan Perdana Menteri yang mempertahankannya dengan mendakwa semua itu bukan luar biasa bagi seseorang yang “memiliki kedudukan, tanggungjawab serta aset warisan keluarga seperti perdana menteri.”

“Hakikatnya, berdasarkan pelbagai laporan, keluarga Perdana Menteri mampu berbelanja dan mendapatkan aset di luar negara yang bernilai ratusan juta ringgit,” tegas Tony.

Laporan NYT menyebut bahawa invois dan beberapa dokumen lain yang diperolehi mereka menunjukkan Rosmah telah memesan barangan kemas bernilai jutaan dolar Amerika di Hong Kong pada tahun 2008 dan 2009.

Akhbar itu juga mendedahkan urusniaga anak tiri Najib yang dirahsiakan sebelum ini, iaitu Riza Aziz yang telah membeli pangsapuri di Park Laurel, New York, pada harga AS$33.5 juta (RM117.5 juta) dan sebuah rumah di Beverly Hills bernilai sekurang-kurangnya AS$17.5 juta (RM61.5 juta) secara tunai.

“Anehnya, kedua-dua hartanah itu dibeli daripada Jho Low yang kekayaannya juga tidak dapat dijelaskan (asal-usulnya),” nyata Tony.

NYT sebelum ini telah menerbitkan laporan mengenai ‘jejaka misteri Malaysia di kelab malam New York’ Jho Low dan mengaitkan taikun muda itu dengan dana bermasalah 1Malaysia Development Berhad(1MDB) di samping mendedahkan hubungan Jho Low dengan Riza Aziz, anak kepada Rosmah Mansor dari perkahwinan pertamanya.

Menurut Tony, Riza sendiri telah mengakui dan mengesahkan pembelian dua hartanah berkenaan.

“Riza Aziz pun sudah mengakui hal ini, bahkan lebih mengejutkan rumah di Beverly Hills itu akan dipecahkan dan dibina rumah yang baru dengan memakan jutaan dolar lagi.

“Perbelanjaan maha mewah Riza ini mengejutkan, sedangkan dia sebelum ini hanyalah seorang pegawai bank junior di HSBC,” ulas Tony.

Justeru itu, Tony mendesak Najib mencontohi rakan baiknya Presiden Obama yang setiap tahun mengisytiharkan harta dan perbelanjaan keluarganya di bawah Akta Etika 1978.

“Inilah masanya Najib isytihar harta seperti yang ditunjukkan Obama, demi menjelaskan kekayaan melampau keluarganya yang tidak dapat dibayangkan walaupun sudah mengambil kira warisan harta bapanya Tun Razak, yang terkenal dengan sikap jimat-cermat,” ujar Tony lagi.-Roketkini.com