Rencana

Perginya seorang Tok Guru

Datuk Nik Aziz Nik Mat menghembuskan nafas terakhirnya di Kelantan malam tadi. Dalam usia 84 tahun Allahyarham telah meninggalkan legasi perjuangan yang unik dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Segala kebaikan dan keluhuran budinya kini menjadi tulisan, bualan dan kenangan kepada mereka yang menyanjunginya. Hanya segelintir manusia akan membencinya, itu pun semata-mata kerana politik kepartian atau kemarahan peribadi.

Bagi DAP, perbezaan ideologi politik Nik Aziz yang lebih mesra dengan gelaran Tok Guru itu dengan parti adalah seperti bumi dan langit. Yang satu agama, yang satu lagi demokrasi sekular dengan hak-hak asasi serta kesetaraan dan kesaksamaan.

Bagi PAS, prinsipnya adalah pemerintahan yang berteraskan Quran dan Sunnah, dan ditambah pula dengan usaha mahu melaksanakan hukum hudud.

DAP pula berpegang kepada prinsip demokrasi sekular yang dianggap selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang (sepatutnya) menjamin hak semua kaum dan agama tanpa ada sebarang bentuk diskriminasi.

Namun, perbezaan ketara itu tidak pernah menghalang hubungan baik di antara Tok Guru dan pucuk pimpinan DAP, khususnya Lim Guan Eng dan DAP Lim Kit Siang.

Walaupun “bersetuju untuk tidak bersetuju” dalam hal-hal negara Islam dan pelaksanaan hudud, mereka boleh duduk semeja untuk bersetuju kepada usaha meluaskan amalan demokrasi, menghapuskan undang-undang zalim dan anti-kebebasan, meningkatkan taraf hidup rakyat dan memajukan ekonomi dengan memastikan tiada siapa dipinggirkan.

Malah, seperti yang disuarakan kebanyakan pemimpin Pakatan Rakyat, hal-hal yang telah dipersetujui oleh para pimpinan jauh lebih banyak daripada sekadar dua, tiga perkara yang mereka berbeza pendapat.

Di sinilah peranan Nik Aziz menjadi amat penting. Walaupun pandangan hidup dan politik beliau konservatif, khususnya tentang hak wanita dan hukum-hakam agama, beliau cekap membaca perubahan politik Malaysia.

Tanpa perlu menyembunyikan wajahnya sebagai seorang ulamak yang menolak corak hidup liberal, Tok Guru bijak dalam menangani isu-isu politik yang membolehkan Pakatan kekal bersahabat.

Apabila cuba ditekan oleh media massa yang dikuasai Barisan Nasional, Tok Guru biasanya konsisten mengakui bahawa memang PAS dan DAP mempunyai pendirian masing-masing seperti dalam isu hudud dan negara Islam. Namun, beliau menyatakan adalah lebih baik jika kedua-dua parti bersama-sama memperjuangkan isu-isu yang telah disepakati.

Atas sikap, sifat dan amalan inilah DAP yang berjuang untuk peluang dan hak saksama serta kesetaraan gender dapat bekerjasama dengan PAS yang konservatif melalui kegigihan perjuangan Nik Aziz.

Tidak salah jika dikatakan peranan Tok Guru seperti melanjutkan usaha Allahyarham Datuk Fadzil Noor selaku Presiden PAS yang telah menerajui usaha merapatkan koalisi pembangkang selepas Reformasi 1998.

Dengan kerjasama PAS dan DAP serta penglibatan PKR melalui Datuk Seri Anwar Ibrahim, sumbangan Nik Aziz berjaya meningkatkan hubungan pembangkang sehingga berjaya menghasilkan tsunami politik dalam pilihanraya umum 2008.

Tidak salah jika dikatakan imej Nik Aziz – gaya hidup beliau yang amat sederhana dengan rumah yang kecil serta mudah didatangi orang ramai serta masih terus-menerus mengajar ilmu agama di masjid – menyebabkan ramai pengundi bukan Melayu selesa untuk memilih PAS dalam PRU 2008 dan 2013.

Ia bererti Allahyarham menjadi pelopor untuk membawa undi kaum bukan Melayu, khususnya kaum Cina yang selama ini takut dengan imej Islam yang dibawa oleh ulamak PAS, untuk mengundi Pakatan Rakyat, termasuk PAS.

Malah tidak mengejutkan pada PRU 2013, ramai pengundi Cina memilih PAS sehingga mmembolehkan parti itu berjaya di beberapa kerusi yang sukar dimenangi sebelum ini. Namun di kalangan pengundi Melayu, ramai yang masih ragu-ragu untuk mengundi DAP dek propaganda keji dan fitnah UMNO-BN.

Oleh itu, apabila Tok Guru semakin uzur sejak akhir tahun lalu, suasana politik turut berubah. Suara-suara yang enggan bertoleransi serta hanya mahu memaksa semakin kuat kedengaran. Suara moderat perlahan-lahan tenggelam di kalangan Pakatan Rakyat.

Pemergian Nik Aziz, hampir setahun selepas perginya Karpal Singh; dan kini Anwar Ibrahim pula disumbat ke dalam penjara oleh regim yang takut kepada kebenaran, bakal mengubah lanskap politik negara.

Sama ada perubahan itu akan membawa kebaikan kepada rakyat atau kembali kepada era bertelingkah, bergaduh dan bertegang leher sesama sendiri.

Pemergian Nik Aziz memang amat terasa kesannya. Salam takziah buat keluarga Tok Guru dan mereka yang akrab dengannya. – Roketkini.com