Berita

Tanpa Anwar, Pakatan Rakyat perlu bekerja atas dasar bersama

PETALING JAYA, 13 FEB: Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong memohon rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) untuk mula bergerak secara sehaluan supaya UMNO-BN dapat dikalahkan.

Beliau berkata, dengan ketiadaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai teraju utama, PR harus mula bekerja atas dasar bersama jika benar gabungan itu mahu melakukan perubahan dalam negara.

“Untuk menjayakan misi ini dengan ketiadaan Anwar, kita perlu lebih sepakat kerana matlamat paling utama adalah melakukan perubahan di dalam negara dengan mengalahkan UMNO-BN.

“Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang memiliki keyakinan, bukan seperti sekarang dan PR perlu melakukan sesuatu untuk membuktikan bahawa kita lebih berdaya maju serta merupakan pilihan terbaik.

“Kita juga harus memperbanyakkan lagi usaha untuk mendidik dan mengajukan agenda kepada seluruh rakyat.

“Untuk mengakhiri atau menamatkan hayat UMNO-BN, PR juga memerlukan satu gabungan yang lebih besar, lebih mantap dan usaha ke arah itu harus dimulakan dari sekarang,” katanya dalam forum ‘Masa Depan Politik Tanpa Anwar’ di Pejabat portal MalaysiaKini, malam tadi.

Ahli Parlimen Kluang itu juga tidak menolak akar kepada agenda memenjarakan Anwar turut berpunca dari masalah dalaman UMNO-BN sendiri yang sehingga kini masih mengikut telunjuk Mahathir walaupun beliau sudah lama bersara.

“Kalau kita lihat pada tahun 2008, selepas Pilihanraya Umum (PRU), Mahathir sedaya upaya melakukan beberapa agenda untuk menurunkan Abdullah Badawi.

“Situasinya sama dengan sekarang, kerana Mahathir mahukan Perdana Menteri baru dan bukan lagi Najib yang dilihat lemah.

“Saya pun tidak tahu mengapa Mahathir ini masih berkuasa sehingga sekarang,” ujarnya. -Roketkini.com