Berita

Wakil rakyat wanita PR Selangor nyatakan sokongan kepada Chong Eng

SHAH ALAM, 13 FEB: Wakil Rakyat wanita Pakatan Rakyat (PR) Selangor hari ini menyatakan sokongan penuh kepada Exco Pulau Pinang Chong Eng yang telah disiasat oleh pihak polis hanya kerana beliau mempertahankan wanita yang sering dipersalahkan sebagai punca kejadian rogol.

“Kami wakil rakyat wanita PR Selangor sepenuhnya menghormati hak wanita Muslim untuk menutup aurat mereka namun untuk menyalahkan wanita sepenuhnya terhadap kes-kes rogol di Malaysia adalah salah sama sekali.

“Kami menyeru masyarakat untuk membuang stigma ini kerana perogol merupakan individu yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap jenayah itu sendiri dan bukannya orang lain,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Mereka menegaskan lagi, kaum lelaki sepatutnya perlu sentiasa melindungi kehormatan diri dan yang paling penting memandang wanita dengan hormat serta penuh bermaruah.

Pada 11 Februari lalu, Chong Eng yang juga Ketua Wanita DAP telah dipanggil untuk direkodkan keterangan berhubung kenyataannya dituduh sebagai menyentuh agama Islam.

Chong Eng tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai pada jam 7 petang sebelum keluar kira-kira jam 8.15 malam.

Sebelum memberikan keterangan, Chong Eng telah menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa beliau mencampuri urusan agama Islam.

Chong Eng menegaskan tuduhan tersebut tidak benar sama sekali kerana apa yang beliau persoalkan bukanlah Islam tapi tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang mengaitkan cara wanita berpakaian sebagai punca berlakunya kes rogol.

Katanya, punca utama berlakunya kes rogol adalah hubungan kuasa yang tidak seimbang dan bukannya cara seseorang wanita itu berpakaian.

Sehubungan itu, wakil rakyat wanita PR Selangor menyarankan agar lebih banyak dialog dibuat dengan semua pihak berkepentingan terutama NGO wanita untuk bertukar-tukar pandangan sebagai langkah ke hadapan.

Kenyataan tersebut telah ditandatangani oleh ADUN Kajang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah, ADUN Subang Jaya Hannah Yeoh, ADUN Damansara Utama Yeo Bee Yin, ADUN Teratai Tiew Way Keng, ADUN Rawang Gan Pei Nei, ADUN Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong, ADUN Bukit Lanjan Elizabeth Wong, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamarudin, ADUN Taman Medan Haniza Talha dan ADUN Batu Tiga Rodziah Ismail. -Roketkini.com