Berita

Cara berpakaian wanita bukan punca kejadian rogol

PETALING JAYA, 14 FEB: ADUN Damansara Utama Yeo Bee Yin hari ini mengutuk keras tindakan sebilangan pihak yang berterusan mengaitkan kes rogol dengan cara wanita berpakaian.

Beliau berkata, dakwaan tersebut adalah mengarut sama sekali kerana perangkaan jelas menunjukkan bahawa negeri yang lebih konservatif mencatat bilangan kes tertinggi berbanding negeri urban di Malaysia.

“Negeri yang menduduki tangga teratas adalah Negeri Sembilan, Kelantan, Perlis dan Kedah dengan masing-masing 20.6, 20, 18.7 dan 17.64 kes rogol bagi setiap 100,000 daripada populasi.

“Negeri-negeri paling urban di Malaysia seperti Pulau Pinang, Selangor, dan Kuala Lumpur berada di tangga bawah dengan kadar 11.47, 11.41 dan 9.28 kes rogol bagi setiap 100,000 daripada populasi.

“Saya tidak menemui korelasi positif atau negatif antara tahap konservatif sesebuah populasi dengan bilangan kes, tapi pendek kata angka-angka ini jelas menunjukkan dakwaan bahawa rogol adalah berkaitan dengan pemakaian wanita langsung tidak berasas,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Pengerusi Wanita DAP Petaling Jaya Utara itu menyatakan, perangkaan tersebut juga bertepatan dengan beberapa kajian sosial terhadap perogol yang menunjukkan bahawa pemakaian wanita bukanlah faktor penting dalam kes rogol.

Menurutnya, perogol sebenarnya mencari tanda-tanda kepasifan dan sikap mudah menyerah mangsa.

“Secara ringkas, rogol ialah manifestasi kuasa dan kawalan, bukannya seks.

“Ini turut menjelaskan kenapa kebanyakan mangsa seks selalunya mempunyai sifat dominan, ketegasan dan kehadiran sosial yang rendah. Di Malaysia, lebih daripada separuh mangsa seks berusia di bawah 16 tahun,” ujarnya.

Katanya lagi, beliau tidak bermaksud untuk menyentuh hak pihak berkuasa agama tapi tuduhan sedemikian haruslah disokong dengan fakta dan angka serta kajian yang sepatutnya.

“Wacana sebegini bukanlah untuk mencabar agama tapi menawarkan pandangan alternatif kepada masyarakat kita untuk meneroka dan menilai sendiri.

“Wanita di negara ini sepatutnya mempunyai hak untuk menentukan sendiri cara mereka berpakaian berdasarkan kepercayaan sendiri.

“Tidak ada wanita yang wajar dikritik sebagai kononnya mengundang kejadian rogol apabila mereka melaksanakan kebebasan secara persendirian,” kata Bee Yin. -Roketkini.com