Berita

DAP desak 1MDB dedah perjanjian sulit dengan Ananda Krishnan

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini menggesa 1MDB agar mendedahkan syarat penuh pinjaman ‘sulit’ luar biasa mereka dengan jutawan Tan Sri Ananda Krishnan demi menyelesaikan hutang tertunggak sebanyak RM2 bilion.

“Persoalan yang perlu dijawab kini adalah apakah perjanjian yang membuatkan Ananda bersetuju membantu menyelesaikan hutang RM2 bilion itu?

“Walaupun rakyat Malaysia terdiri dari orang yang baik, murah hati, dan pemaaf, tapi tiada siapa boleh membayangkan mana-mana jutawan tempatan akan memberi pinjaman berbilion ringgit kepada sebuah anak syarikat milik penuh kerajaan tanpa sebarang ikatan,” kata Tony.

Menurutnya, memandangkan 1MDB adalah syarikat milik kerajaan maka butiran perjanjian seperti tempoh pinjaman dan kadar faedah perlu didedahkan agar negara tidak menanggung rugi.

“Sebelum ini 1MDB mendapatkan pinjaman menerusi jaminan yang diberi oleh International Petroleum Investment Corporation milik kerajaan Abu Dhabi dan terpaksa menawarkan opsyen dalam syarikat pembekal tenaga yang bernilai sekurang-kurangnya AS$250 juta,” jelas Tony.

Semalam, 1MDB dilaporkan telah mengumumkan bahawa syarikat itu akhirnya berjaya menyelesaikan pinjaman kontroversi RM2 bilion dengan beberapa bank.

Bayaran telah dibuat dengan bantuan Ananda enam hari sebelum bank menggerakkan peningkatan risiko kegagalan atau ‘event of default’ (EOD).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kandasamy tanpa segan silu memberitahu bahawa ‘pinjaman tersebut telah diselesaikan lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan’.

Mengulas kenyataan Arul, Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP menyatakan CEO 1MDB itu gagal menyebut hakikat bahawa syarikat berkenaan telah diberi tempoh lanjutan sebanyak tiga kali sejak November tahun lalu.

“Ini tidak mengambil kira fakta bahawa pinjaman RM2 bilion tersebut adalah berasal dari hutang sebanyak RM5.5 bilion yang gagal dibayar pada November 2013, sebelum ia distrukturkan semula ke dalam pinjaman RM3.5 bilion selama 10 tahun dan pinjaman jangka pendek sebanyak RM2 bilion,” tegasnya.

Tambah Tony, 1MDB tidak boleh mengelakkan diri lagi dan perlu mendedahkan segala rahsia serta perjanjian konsesi dengan Ananda.

“Sebagai contoh, kita ingin mengetahui berapa lamakah tempoh pinjaman, kaedah faedah dan perkara lain yang berkaitan.

“Oleh kerana Arul sendiri secara terbuka menyatakan bahawa beliau mengalu-alukan penelitian awam bagi membantu mengukuhkan syarikat dan tadbir urusnya, kita pasti mengharapkan beliau jujur serta telus dalam perkara ini,” ujarnya. -Roketkini.com