Rencana

ISMA nak Salahkan Siapa Lagi?

Saya merujuk kepada laporan oleh Free Malaysia Today bertajuk ‘ISMA warns of Challenges from West Proxies’.

Nampaknya ISMA kebelakangan ini seolah-olah hilang modal untuk kekal relevan di Malaysia. Rasa nak tergelak apabila ISMA melalui presidennya Abdullah Zaik mengeluarkan kenyataan bahawa gerakan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus kekal relevan di Malaysia melalui proksi asing dan bangsa lain.

Sebagai seorang Muslim, saya ingin menyatakan bahawa perjuangan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kekal relevan dan akan menjadi semakin kuat bukan kerana proksi asing tetapi melalui rakyat Malaysia tak kira bangsa atau agama. Fakta ini adalah kerana gerakan politik baru yang diasaskan oleh DSAI adalah berdasarkan aspirasi generasi baru rakyat Malaysia yang mahukan pembaharuan dengan menghapuskan perkauman, memastikan ketelusan kerajaan dan memartabatkan rakyat Malaysia tak kira latar belakang.

Gerakan ini adalah sinonim dengan prinsip-prinsip Islam yang juga adalah prinsip-prinsip universal. Apa yang dinyatakan oleh Abdullah Zaik adalah betul, DSAI adalah seorang berpengaruh tak kira di dalam atau di luar penjara. Beliau akan sentiasa menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia tak kira latar belakang untuk berjuang ke arah Malaysia Baru.

Rakyat berhak membuat pilihan sama ada ingin menyokong gerakan politik yang dipimpin oleh DSAI atau tidak. Pada pengetahuan penulis, sebanyak 52% menyokong perjuangan Pakatan Rakyat pada pilihanraya yang lalu. Berdasarkan analisa politik setempat dan antarabangsa, kemungkinan besar peratusan sokongan akan melonjak lebih tinggi kerana rakyat Malaysia telah meluat dengan kezaliman Kerajaan Barisan Nasional selama ini.

Abdullah Zaik tidak seharusnya risau dengan warga asing yang ingin menyokong gerakan berdasarkan prinsip-prinsip universal dan Islam yang murni ini. Semua orang berhak untuk menyokong gerakan politik Pakatan Rakyat. Secara kebetulannya, pengaruh DSAI bukan hanya di kalangan rakyat Malaysia tetapi juga di kalangan masyarakat antarabangsa. Ini adalah kerana seperti yang dinyatakan oleh Abdullah Zaik, memang betul DSAI mempunyai karisma dan pengaruh yang tinggi hampir di seluruh dunia.

Sebenarnya Abdullah Zaik juga tidak seharusnya risau dengan pengaruh DSAI. Beliau di penjara, tak payahlah nak menyerang beliau. Sebaliknya Abdullah Zaik dan ISMA harus risau akan Perdana Menteri yang ingin sangat adakan perjanjian dengan Amerika Syarikat melalui Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau TPPA yang ada potensi untuk melumpuhkan ekonomi tempatan rakyat Malaysia. Perjanjian sebegini adalah seperti menjual negara sendiri kepada kuasa asing yang juga boleh dianggap sebagai penjajahan ekonomi Malaysia.

Sejak ISMA suka ‘bising’ dengan mengutuk kaum lain bersama masyarakat Kristian dan Yahudi, penulis ingin bertanya pendapat Abdullah Zaik selaku Presiden ISMA berkenaan dengan konsultan di Pejabat Jabatan Perdana Menteri yang diketuai oleh, mengikut logil ISMA, bukan sahaja seorang kafir, tetapi seorang warga asing yang bekerja di pejabat kerajaan. Bukankah ini menghina penjawat awam di mana hampir 90% daripadanya adalah orang Melayu-Muslim? Apakah Perdana Menteri tidak pedulikan bakat penjawat awam untuk mengendalikan tugasan perhubungan awam? Mengapakah perlu konsultan warga asing untuk menguruskan tugasan tersebut? Bolehkah ini dianggap bahawa Datuk Seri Najib menggunakan proksi luar untuk mengekalkan kuasa beliau sebagai Perdana Menteri?

Saya ingin menasihati Abdullah Zaik agar jangan risau pasal pengaruh DSAI. Beliau sekarang sedang meringkuk dalam penjara. Beliau bukannya ada kuasa seperti Perdana Menteri yang lebih gemar main golf bersama Presiden Amerika Syarikat sementara rakyat Malaysia sedang susah kerana kos sara hidup yang semakin tinggi menjelang perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Saya juga ingin mengingatkan Abdullah Zaik jangan taksub sangat dengan DSAI kerana Abdullah Zaik bukannya sama taraf dengan DSAI dan tidak akan mempunyai sekerat pengaruh atau karisma yang dianugerahkan kepada DSAI. Jika Abdullah Zaik berani, sila turun ke gelanggang politik dan kita lihat bagaimana pengaruhnya yang gemar memberikan kenyataan perkauman akan memberikannya sebarang undi untuk kekal relevan di Malaysia yang berbilang kaum dan yang tercinta ini.

*Penulis adalah Ahli Majlis Eksekutif Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP