Berita

DAP terus beri sokongan penuh kepada keluarga Anwar

SERDANG, 16 FEB – DAP berikrar untuk terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada ahli keluarga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah satu minggu tokoh politik tanah air itu menjadi tahanan politik di penjara.

Bercakap di majlis ceramah solidariti bersama Anwar, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Teresa Kok menegaskan bahawa DAP setia bersama perjuangan demi keadilan dan kebebasan.

“Selepas Datuk Seri Anwar dipenjarakan, saya melihat keluarganya bangkit memperjuangkan keadilan.

“Bukan itu sahaja, lima belas tahun lalu sewaktu kes liwat pertama, anak-anaknya yang kecil pun sudah membesar, menjadi ibu dan isteri dan keluar memperjuangkan keadilan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Ahli Parlimen Seputeh itu di Dewan Orang Ramai Taman Cheras Jaya.

“Kita melihat kuasa wanita; kita patut rasa gembira untuk keluarganya, yang memperjuangkan keadilan bukan hanya untuk ayah mereka, tetapi juga demi masyarakat,” tambah beliau lagi.

Ceramah semalam adalah majlis sulung siri ceramah anjuran DAP sebagai tanda solidariti bersama Datuk Seri Anwar.

Esok malam, siri ceramah tersebut diteruskan di Sekolah Han Chiang, Pulau Pinang.

Puteri Reformasi Nurul Izzah Anwar turut merakamkan penghargaan buat DAP atas ruang dan semangat setiakawan yang diperlihatkan di saat mereka memerlukan sokongan.

Beliau yang hadir bersama adiknya Nurul Nuha, yang mengetuai gerakan ‘March 4 Freedom’ berkongsi pesanan Datuk Seri Anwar yang mahukan reformasi terlaksana di bumi Malaysia.

“Bukan mudah untuk melihatnya pada usia 67 tahun dalam keadaan begitu,” ujar Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai mengenai bapanya.

“Pesannya yang harus difahami oleh semua ialah supaya kita bertindak dan (memastikan) suara kita diambil kira,” kata beliau.

“Pada 2006, 2007 saya tanya bapa saya; perlukah pulang ke Malaysia? Cukuplah, papa, sekarang anak-anak dahagakan kasih.

“Iman dan Hana ketika itu umur enam tahun dan lapan tahun. Sekarang anak saya berumur enam dan lapan tahun,

“Jawabnya, ‘Ini negara saya. Saya akan pulang dan lawan’,” jelas Izzah. – Roketkini.com