Berita

Kerajaan Selangor batal KIDEX, pemaju tidak penuhi syarat

PETALING JAYA, 16 FEB: Ekoran kegagalan syarikat konsesi memenuhi syarat ditetapkan, kerajaan Negeri Selangor memutuskan untuk membatalkan projek Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX).

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua berkata, pembatalan yang diumumkan Menteri Besar tengah hari ini dibuat setelah tempoh lanjutan permohonan yang diberikan kepada syarikat itu tamat.

“Kerajaan negeri bertindak adil apabila mendengar suara rakyat yang membantah projek KIDEX.

“Bukan itu saja, kerajaan negeri juga adil kepada pemaju apabila memberikan tempoh selama lebih kurang empat bulan untuk memenuhi syarat ditetapkan sejak November tahun lepas,” ujar Tony kepada Roketkini.

Tony turut memaklumkan pemaju turut gagal mematuhi tiga syarat utama.

“Antaranya pemaju harus mematuhi kajian penilaian trafik, selain menjelaskan kadar tol, peningkatannya dan manfaat kepada pengguna dan penduduk.

“Keuntungan dari kadar tol di samping perjanjian konsesi juga harus didedahkan kepada orang ramai.

“Namun, kesemua syarat tersebut tidak dipenuhi pemaju walaupun tempoh yang agak lama telah diberikan,” ujar Tony. – Roketkini.com