Berita

Mengenang nasib bangsa, Kit Siang tersentak di tengah ucapan dan menitiskan air mata

PETALING JAYA, 16 FEB – Tiba-tiba sahaja dewan menjadi sunyi sepi apabila Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang tersentak seketika sewaktu menyampaikan ucapan, sebelum meneruskannya dengan nada sayu dan suara tersedu-sedu.

Ketika berucap di majlis makan tengah hari semalam bagi melancarkan buku tulisan Dr Carl Vadivella Belle, ‘Tragic orphans: Indians in Malaysia’, di sini, beliau berkongsi tentang pertemuannya dengan seorang jurutera komputer Microsoft yang berpusat di Singapura yang memaklumkan bahawa hampir 80% daripada 400 orang pekerja di sana merupakan warganegara Malaysia.

Menyentuh perihal bakat dan tenaga kerja anak bangsa yang meninggalkan tanah air akibat tiada peluang di negara sendiri, Ahli Parlimen Gelang Patah tersebut mempersoalkan sama ada negara mampu mencapai Wawasan 2020.

“(Wawasan) 2020 hanya lima tahun sahaja lagi. Bagaimana prospek untuk kita mencapai wawasan tersebut, sebagai sebuah negara maju?

“Malah sebenarnya kita tidak mampu mencapai cabaran pertama daripada sembilan cabaran strategik Wawasan 2020 pun, iaitu pembentukan Bangsa Malaysia yang harmoni,” tegasnya dalam majlis yang turut dihadiri Naib Pengerusi Kebangsaan DAP M Kula Segaran serta puteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Ilham.

Menurutnya lagi kalimat ‘Bangsa Malaysia’ pun telah menjadi seakan suatu kata-kata keji dewasa ini.

“Ada sesiapa yang ingat bilakah kali terakhir Perdana Menteri atau mana-mana Menteri bercakap tentang Bangsa Malaysia?” soalnya.

“Sebaliknya apa yang berlaku ialah ekstremisme, kefanatikan dan sikap tidak toleran pula yang semakin berleluasa, menambah kepada jurang kaum dan agama; dan mengancam fabrik perpaduan dan keharmonian dalam sebuah masyarakat plural,” kata beliau. – Roketkini.com