Rencana

‘Siapa dapat apa, bila dan bagaimana’

Satu-satunya perkara yang boleh menenggelamkan gerakan kempen membebaskan Anwar atau gerakan reformasi PR adalah nafsu sekelompok politikus yang inginkan kerajaan perpaduan PAS dan UMNO terbentuk.

Bagi UMNO pula, ini sajalah modal terakhir UMNO-BN (selepas agenda menganiaya Anwar) untuk meneruskan agenda mempertahankan korupsi politik mereka dan pada masa yang sama melumpuhkan tenaga PR untuk menumbangkannya.

Selama ini, usaha tersebut sukar dijayakan kerana adanya tokoh seperti Tuan Guru Nik Aziz yang berpengaruh dan kuat pula menentang usaha penuh bernafsu itu. Tetapi kini tidak lagi. Malah sejak ketiadaan tokoh itu, sudah ada beberapa pihak yang mula menggunakan nama Tuan Guru untuk menjayakan usaha licik mereka, antaranya mengedepankan hudud.

Untuk hudud, kunci untuk melaksanakannya ialah dengan jalinan kerjasama dengan UMNO-BN. Itu saja. Semudah itu politik kumpulan ulama politik ini.

Siapa dapat apa?

Politikus yang suka digelar ulama ini adalah satu-satunya entiti yang akan mendapat laba besar daripada kerjasama dengan UMNO-BN, bukan rakyat.

Apa laba itu? Pertama, jaminan kuasa di negeri Kelantan. Jaminan kekuasaan ini adalah selera bagi setiap manusia, lebih-lebih lagi mereka yang tidak yakin dengan kebolehan diri sendiri untuk memimpin dan merencana penyelesaian masalah rakyat, tetapi nak jadi pemimpin.

Kelompok bernafsu pada kekuasaan ini juga akan menggunakan hujah ‘agama’ bersama kuasa yang ada padanya untuk menjustifikasikan kelemahan dan kegagalan mereka sebagai kerajaan atau pentabdir, sebagai suatu kehendak Ilahi dan takdir yang harus diterima oleh rakyat tanpa banyak soal.

Kedua, jaminan sumber ekonomi dan kekayaan. Satu Malaysia tahu, hanya Nik Aziz sahaja yang zuhud di kalangan politikus penguasa di Kelantan.

Bila dan bagaimana?

Ketika inilah masa yang sesuai untuk cita-cita itu dilaksanakan. Kerana ketika ini, hubungan dalaman PR khususnya antara DAP dan PAS berada dalam keadaan yang sangat tipis. Apatah lagi Anwar sudah dipenjara.

Malah, hujah untuk meneruskan agenda perpaduan ini dapat dikukuhkan lagi apabila DAP bercita-cita untuk mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan. Bagi kumpulan ulama politik, agenda pilihanraya kerajaan tempatan ini tidak Islamik dan mereka beranggapan, ia tak semestinya demokratik. Maka projek kerajaan perpaduan dilihat lebih Islamik, relevan dan demokratik.

Dengan situasi ini, rakyat dan penyokong mereka (ulama politik) dapat lebih mudah diyakinkan bahawa bukan mereka ini kemaruk sangat dengan UMNO tetapi mereka dah tiada pilihan lain, kerana DAP ini digambarkan semakin menyusahkan perjuangan Islam, olah mereka.

Justeru itu, ketika ini dan dengan cara inilah persepsi dan penerimaan rakyat tentang cita-cita bernafsu mereka itu dapat diolah dan dibentuk.

Masa depan

Ini bukan lagi soal hal-ehwal dalaman parti masing-masing. Perkara ini melibatkan dasar bersama yang telah dipersetujui sejak 6 tahun lalu.

Apa jua natijahnya, ia akan memperjudikan 52 peratus undi yang telah PR miliki kini. Jangan lupa, 52 peratus sokongan ini bukan diperolehi dari seorang tokoh atau satu parti, tetapi daripada satu usaha gerakan bersama atas satu agenda iaitu, menggantikan kerajaan BN yang korup.

Namun, semua ini seolah-olah tak penting. Seperti teori Harold Lasswell, dalam politik yang lebih penting ialah “Who gets what, when and how.”

*Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Pemuda DAP Kebangsaan.