Berita

DAP cabar kerajaan dedah pegangan aset kaum India

BATU GAJAH, 18 FEB: DAP mendesak kerajaan mendedahkan peruntukan pembangunan ekonomi kaum India terutama dalam meningkatkan pegangan aset mereka.

Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar berkata, masyarakat India sehingga kini terus dianaktirikan walaupun negara sudah 50 tahun merdeka.

Menurutnya, pegangan aset kaum India adalah yang terkecil dibandingkan dengan bumiputera dan kaum Cina.

“Walaupun sudah lebih 50 tahun merdeka, kaum India masih tidak mempunyai hala tuju meningkatkan pegangan aset mereka.

“Mungkin ada segelintir usahawan India yang berpengaruh berjaya memiliki sejumlah aset mengagumkan, tetapi milikan itu tidak memberi gambaran sebenar pegangan aset secara keseluruhannya.

“Sebilangan besar daripada orang-orang India tidak memiliki apa-apa aset, lebih-lebih lagi aset komersial,” kata Sivakumar dalam satu kenyataan, hari ini.

Setiausaha Antarabangsa DAP turut mengecam kerajaan BN dan MIC yang kononnya berjuang untuk kaum India tapi masih gagal meningkatkan pegangan aset mereka.

“Amat menyedihkan. Setakat ini tidak ada sebarang rancangan ataupun pelaksanaan projek tertentu untuk meningkatkan jumlah aset kaum India.

“Setiap kali pilihanraya, pelbagai janji kosong ditabur untuk memikat hari orang-orang India. Selepas itu mereka diabai dan dibiarkan tanpa sebarang bantuan.

“Sebagai contoh, kaum India tidak pernah dimasukkan dalam agenda utama ekonomi negara walaupun golongan ini amat memerlukan dan mengharapkan bantuan kerajaan,” tegasnya.

Tambah beliau, keadaaan ini berbeza terhadap keseriusan kerajaan membantu bumiputera meningkatkan aset dengan menubuhkan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB).

“PHB telah membuat pelaburan sebanyak RM3.2 bilion melalui pembelian bangunan dan projek pembangunan hartanah seperti CP Tower (Seksyen 16 Petaling Jaya), Menara Prisma (Putrajaya), Menara BT (Bangsar South) dan Lot G (Sentral Kuala Lumpur).

“Tapi mengapa tidak ada sebarang hasrat murni untuk membantu masyarakat India?

“Lebih teruk, tidak ada apa-apa langkah dibuat bagi tujuan itu,” ujarnya. -Roketkini.com