Berita

MCA disyaki dalang halang sambutan Tahun Baru Cina Pakatan Rakyat Kluang

KLUANG, 18 FEB: Pusat Komuniti Pakatan Rakyat Kluang mengesyaki ahli majlis MCA adalah dalang di sebalik penolakan permohonan sambutan Tahun Baru Cina Pakatan Rakyat Kluang, di Jalan Ismail, dekat sini.

Pengarah Pusat Komuniti Pakatan Rakyat Kluang, Low Tuck Chuan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan pegawai Majlis Perbandaran Kluang (MPK) yang memberitahu permohonannya ditolak.

Menurut Low, ketika pihaknya menunggu kelulusan MPK, laman facebook ‘Hal-Ehwal Awam Kluang” dimiliki Ahli Majlis MCA meletakkan satu peta Jalan Ismail di atas Rancangan Kawasan Khas Pengekalan & Pemuliharaan Bangunan Warisan, Bandar Sihat dan Bandar Selamat di Bandar Kluang pada malam 16 Febuari 2015.

PR_Kluang1Dalam kiriman berbahasa Mandarin itu menyatakan ‘Kami mendapati ada aktiviti (akan berlangsung di Jalan Ismail). Ahli Majlis menyokong segala aktiviti komuniti pelbagai bangsa yang dapat memberi manfaat kepada semua penduduk Kluang.

“Sehari selepas kiriman tersebut dipaparkan, kami menerima panggilan daripada pegawai MPK yang memberitahu bahawa permohonan kami ditolak.

“Antara sebabnya adalah tiada sebarang aktiviti pun dibenarkan untuk dijalankan di Jalan Ismail pada tahun ini.

“Sejurus menerima panggilan, kami bertolak ke MPK untuk meminta surat rasmi penolakan dan undang-undang baru yang melarang penganjuran aktiviti di Jalan Ismail.

“Menurut maklumat dan tinjauan dibuat, tiada notis rasmi undang-undang tersebut dipaparkan, malah pegawai MPK tidak dapat menunjukkan undang-undang tersebut dan surat penolakan.

“Dalam menjawab sebab ketiadaan pemberitahuan undang-undang tersebut semasa permohonan dibuat, pegawai MPK yang memantau permohonan kami memberitahu ‘Saya pun baru sahaja mengetahui undang-undang tersebut pada hari semalam’.

“Mengapa undang-undang tersebut tiba-tiba muncul semalam, selaras dengan kiriman FB Ahli Majlis MCA? Adakah ini hanya kebetulan sahaja? soal Low.

Ujarnya, sekiranya MCA yang menjadi dalang di sebalik penolakan tersebut, jelas menunjukkan parti pemerintah yang berfikiran sempit dan mewujudkan ketegangan antara ahli komunti.

“Apakah perbezaan sikap Ahli Majlis MCA dengan pemuda (Umno) yang bertanya ‘mana surat?” semasa lawatan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong dan ADUN Mengkibol Tan Hong Pin di Bazaar Ramadan pada tahun lepas? kata Low.

Kata Low, meskipun wujud rintangan aktiviti sambutan Tahun Baru Cina yang dianjurkan Pusat Komuniti Pakatan Rakyat Kluang akan tetap diteruskan di dalam premis kedai di lokasi sama. – Roketkini.com