Berita

Pentadbiran cekap, akauntabiliti dan telus kunci kejayaan Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 18 FEB: Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap sambutan Tahun Baru Cina beberapa hari lagi akan menjadi titik-tolak perubahan, sekaligus mengakhiri segala bencana yang melanda negara sebelum ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, dengan harapan untuk tahun baru yang bebas dari bencana sama ada secara semulajadi atau buatan manusia, pihaknya telah menyediakan model alternatif ke arah tadbir urus baik dengan kebergantungan kepada kesederhanaan, kedaulatan undang-undang, integriti serta usaha mencapai kecemerlangan.

Menurutnya, tadbir urus negeri yang berasaskan kecekapan, akuntabiliti dan ketelusan (CAT) adalah satu anjakan paradigma baru berbanding model kapitalisme kroni BN.

“Kerajaan Negeri telah mengguna-pakai pendekatan mesra rakyat iaitu 3E (enable, empower, enrich) bagi mengupayakan rakyat dengan cara meningkatkan kemahiran dan pengetahuan, mengukuhkan hak dan rasa bertanggungjawab mereka serta memakmurkan rakyat.

“Pelaburan dalam pendidikan juga adalah perlu untuk masa depan, begitu juga pelaburan dalam kesederhanaan bagi menghormati hak-hak dan tanggungjawab sekaligus memastikan kestabilan serta masyarakat yang teratur sebagai kunci kejayaan,” katanya dalam perutusan Tahun Baru Cina, hari ini.

Guan Eng turut menyarankan semua warga Pulau Pinang supaya menunjukkan kepada negara bahawa mereka merupakan penduduk yang menghargai kerjasama bukan konfrontasi dalam menyelesaikan masalah.

“Berbeza dari warna kulit kita, ketidakadilan dan ketidaksamaan tidak mempunyai warna.

“Mengapa kita nak membeza-bezakan mengikut warna kulit sedangkan kita tidak pernah membezakan warna duit kita yang pelbagai,” tegasnya.

Tambah Ahli Parlimen Bagan itu lagi, salah satu daripada langkah-langkah kejayaan pentadbiran CAT Kerajaan Negeri adalah menerusi pertumbuhan ekonomi.

Jelasnya, sebagai sebuah negeri perindustrian, Pulau Pinang telah mencatatkan pelaburan yang lebih tinggi daripada RM41 bilion pada 2008-2013.

Jumlah itu katanya, adalah 90 peratus lebih tinggi daripada 6 tempoh yang sama pemerintahan UMNO-BN pada 2002-2007 sebanyak RM21 bilion.

“Pentadbiran CAT telah membolehkan Pulau Pinang untuk mengurangkan 90 peratus hutang negari dan mencatatkan lebihan setiap tahun sejak 2008.

“Sejak 2008, lebihan belanjawan kami adalah sebanyak RM453 juta dan jumlah ini lebih tinggi berbanding jumlah keseluruhan sepanjang 50 tahun lalu dari 1957 hingga 2007, iaitu hanya RM373 juta,” ujarnya. -Roketkini.com