Berita

Kerajaan Persekutuan cuba halang usaha Selangor batal KIDEX

PETALING JAYA, 19 FEB: Pembatalan projek lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) kini berdepan rintangan apabila Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof mengatakan syarikat konsesi projek itu menepati syarat yang dipersetujui bersama kerajaan.

ADUN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran dalam kenyataannya hari ini mempersoalkan tindakan Pusat yang seolah-olah mengenepikan peranan kerajaan Selangor sekaligus tidak menjaga kepentingan rakyat Petaling Jaya yang terkesan akibat KIDEX.

“Betul, menteri itu kata perjanjian konsesi antara syarikat pemaju dengan kerajaan pusat dipenuhi.

“Namun beliau harus ingat, kerajaan negeri mengambil kira kepentingan rakyat juga mengenakan syarat terhadap pemaju.

“Di sini beliau salah kerana tak peduli tiga syarat utama kerajaan Selangor,” ujar Rajiv.

Pembatalan KIDEX sebelum ini diumumkan kerajaan Selangor kerana syarikat konsesi itu tidak memenuhi tiga syarat utama.

Antaranya ialah ketelusan dalam kadar pengembalian terhadap syarikat konsesi termasuk kadar tol yang akan dikenakan, bagi menghalang keuntungan melampau dan menyusahkan pengguna.

Di samping itu, syarat agar setiap perjanjian konsesi diumumkan kepada umum, bukan hanya kepada Menteri Besar dan Penasihat Undang-undang Negeri seperti diinginkan pihak KIDEX sebelum ini.

Walaubagaimanapun, pihak syarikat pemaju tidak memenuhi tuntutan kerajaan negeri setelah diberi tempoh lanjutan lebih empat bulan.

“Jika Pusat ada perjanjian mereka, kerajaan Selangor juga berhak mengenakan syarat demi menjaga kepentingan rakyat.

“(Hak ini juga), sebelum ini telah diiktiraf Menteri Kerja Raya sendiri November lepas bahawa keputusan akhir terletak di tangan Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ),” ujar Rajiv.

Tambahnya, kerajaan Pusat seolah-olah tidak gembira apabila mahu mendapatkan nasihat Ketua Peguam Negara dengan keputusan Kerajaan Selangor yang ingin menegakkan ketelusan dalam pentadbiran.

“Menteri ada hak nak dapatkan nasihat Pejabat Ketua Peguam Negara.

“Namun, dia juga mesti jawab kenapa Pusat bersungguh sangat menghalang kerajaan negeri menegakkan ketelusan dalam urusan KIDEX?

“Sepatutnya menteri kena halakan tenaganya bersungguh-sungguh dalam urusan keuntungan, perjanjian konsesi, serta kadar tol lebuhraya-lebuhraya yang mahu dibina dan umumkan kepada awam, berbanding hanya mencari jalan berhubung pembatalan (KIDEX) oleh Kerajaan Negeri,” sindir Rajiv. – Roketkini.com