Rencana

Masa hadapan PAS tanpa Tok Guru

Penganalisis politik Dr Farish Noor menjangkakan pemergian Tuan Guru Nik Abdul Aziz bakal mengakhiri kerjasama di dalam Pakatan Rakyat.

“Banyak spekulasi yang mengaitkan sama ada barisan pembangkang dapat kekal sebagai pakatan politik sehingga pilihanraya akan datang. Pemergian Nik Aziz mungkin tanda berakhirnya pakatan tersebut,” kata Farish dalam esei beliau mengenang pemergian Tok Guru.

Kita mungkin terfikir sama ada gabungan Pakatan akan bertahan tanpa dua tonggak utamanya – Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berhadapan hukuman penjara selama lima tahun dan Tok Guru Nik Abdul Aziz yang meninggal dunia minggu lalu setelah menderita barah prostat.

Walau bagaimanapun, Parti Islam SeMalaysia (PAS) kekal bergerak bersama kawan-kawan Pakatan yang lain. PAS mengulangi komitmen untuk bersama Pakatan Rakyat, setelah mencapai kata putus semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat diadakan pada 8 Februari yang lalu.

Wujud usaha-usaha untuk memporak-perandakan Pakatan Rakyat. Perlaksanaan hukum Hudud menjadi perbahasan utama yang bakal menentukan halatuju kerjasama Pakatan Rakyat.

Sebahagian pimpinan PAS sangat tegas dengan agenda Islam mereka. Manakala, pertelingkahan mengenai isu pilihanraya Majlis Tempatan pula menunjukkan sentimen perkauman yang ditujukan kepada DAP.

Idea ‘kerajaan perpaduan’ dicanang tentang PAS dan UMNO. Perkara ini petanda perpecahan di dalam PAS.

Namun, beberapa pemimpin progresif di dalam PAS sudah menyatakan kesungguhan untuk mengukuhkan hubungan dengan Pakatan Rakyat.

“Ada ura-ura yang mengatakan bahawa Tok Guru-lah yang bertanggungjawab menghentikan perbincangan mengenai kerajaan perpaduan. Tok Guru sebenarnya telah menyelamatkan Pakatan Rakyat, ” komen Liew Chin Tong, ahli parlimen muda DAP.

Pertelingkahan di antara golongan konservatif dan progresif dalam PAS akan menentukan halatuju PAS. Siapa yang bakal menang di dalam muktamar PAS, Jun ini, bakal menentukan kedudukan PAS. Ramai yang beranggapan dua kem politik, konservatif dan progresif mewakili kumpulan ulama atau professional.

Tetapi, itu bukan kisahnya. Menurut Ibrahim Suffian yang mengepalai badan pemikir, Merdeka Centre, perlawanan di dalam PAS sebenarnya mengenai perbezaan pemikiran.

Boleh sahaja jika seorang ulama itu mengepalai gerakan progresif, manakala pada masa yang sama, golongan professional pula memilih untuk menyokong kem konservatif.

DAP pula bertegas bahawa pelaksanaan undang-undang Hudud bakal memberikan kesan buruk terhadap Pakatan Rakyat. DAP, parti berfahaman sekular yang memperjuangkan demokrasi sosial tidak bersetuju dengan kedudukan PAS dan cita-cita perundangan Islam mereka.

“Walaupun ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ dalam hal-hal negara Islam dan pelaksanaan hudud, mereka boleh duduk semeja untuk bersetuju kepada usaha meluaskan amalan demokrasi, menghapuskan undang-undang zalim dan anti-kebebasan, meningkatkan taraf hidup rakyat dan memajukan ekonomi dengan memastikan tiada siapa dipinggirkan,” kata Wan Hamidi, wartawan veteran dalam sebuah tulisan yang diterbitkan Roketkini pada hari kematian Tok Guru.

Bagaimanapun, beberapa pimpinan PAS kekal optimis dengan masa hadapan Pakatan Rakyat. Bagi mereka, ia adalah legasi Tok Guru yang wajib dipertahankan.

Masa hadapan PAS kini bergantung kepada perjalanan Pakatan Rakyat. Jika Pakatan Rakyat kekal, maka PAS akan menjadi salah satu daripada parti politik yang paling kompetitif di Malaysia. -Roketkini.com