Berita

Tidak mungkin pembunuhan tanpa motif dan dalang – Kit Siang

GELANG PATAH, 19 FEB: Sekiranya kes bunuh model Mongolia Altantuya Sharibuu tanpa motif dan dalang, bagaimana Koperal Sirul Azhar dan Ketua Inspektor Azilah Hadri boleh melakukan jenayah tersebut.

Demikian persoalan dibangkitkan Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang kepada Ketua Peguam Negara Datuk Seri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar.

Ini kerana kedua mereka dilihat berdiam diri dan enggan menyiasat kenyataan terbaru Sirul yang bersedia ‘memberitahu semua cerita’ tentang kes bunuh berprofil tinggi itu.

“Sirul kata jika saya mati hari ini, saya mungkin tidak tenang, saya bunuh kerana saya diarah. Namun ini balasan yang saya dapat.

“Saya percaya warga Malaysia dapat rasa ketidakadilan dalam kenyataan Sirul itu kerana dia saja yang membayar harga pembunuhan Altantuya.

“Sedangkan dalang sebenar yang ada motif, dan mengarahkan Sirul membunuh terlepas begitu saja,”kata Kit Siang.

Hari ini, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh membuat satu laporan polis bagi menggesa siasatan dijalankan terhadap bukti keterangan terbaru dari kenyataan Sirul tersebut.

Kedua mereka secara terbuka menyelar sikap Khalid yang enggan menyiasat susulan terbaru berkaitan Sirul Azhar, pembunuh Altantuya Shaaribuu malah menuduh Sirul menipu pula.

Tambah Kit Siang, Gani Patail dan hakim Mahkamah Persekutuan bersalah apabila tidak mempedulikan motif dan siapa dalang yang dalam kes bunuh Altantuya,

“Seolah-olah mereka tak nampak gajah di depan mata,”ujar Kit Siang.

Tambahnya, kegagalan Khalid menjelaskan isu sebenar berkenaan kes pembunuhan Altantuya serta sikap diam diri Gani Patail dari menjalankan tugasnya untuk bertanya mengenai motif dan dalang pembunuhan itu adalah kecuaian besar

“Bekas pendakwa raya Datuk Stanley Isaacs kata polis boleh buka semula kes Altantuya jika sirul buat laporan polis menyatakan dia diarah melakukan jenayah tersebut.

“(Namun), saya tidak bersetuju kerana Sirul sudah melakukan demikian dalam kenyataan polis pertamanya pada 9 November 2006.

“Apa yang dikatakan Sirul hari ini sama saja dalam kenyataan pertamanya, bahawa beliau ditawarkan wang dan diarahkan untuk membunuh Altantuya.

“Persoalannya, kenapa polis dan Gani Patail gagal bertindak terhadap kenyataan Sirul pada 2006,” kata Kit Siang.

Ujarnya, pengabaian Gani terhadap kenyataan pertama Sirul adalah kecuaian serius, kerana Peguam Negara itu wajar mengarahkan polis menjalankan siasatan terperinci.

“Jika tidak, bukan saja ‘algojo’ pembunuhan saja yang dapat ditangkap, pasti dalang sebenarnya juga akan dapat dicekup pihak mereka.

“Bolehkah Gani Patail bela dirinya sendiri terhadap kecuaian dalam jalankan tugas yang memalukan ini?” Soal Kit Siang lagi. – Roketkini.com