Berita

Enggan siasat dakwaan Sirul, KPN gadai keselamatan negara

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Laporan kepada pihak berkuasa akan dibuat jika Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berdegil tidak mahu menyiasat bukti baru dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

“Saya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguakuasaan (EAIC),” kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago

“Laporan dibuat kerana Khalid jelas telah mengabaikan tugasnya untuk melindungi keselamatan negara dan kepentingan awam,” tegasnya dalam satu kenyataan, semalam.

Ahli Jawatankuasa DAP Selangor itu turut mengecam kenyataan Khalid bahawa pihak tidak dapat menyiasat kerana memerluakan ‘alasan yang mencukupi’.

“Kenyataan ini jelas ‘double-standard’ kerana sebelum ini pemimpin politik pembangkang, ahli akademik dan aktivis telah ditahan untuk siasatan hanya berdasarkan laporan polis sahaja,” ujarnya.

Pada 19 Februari, semalam, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh telah membuat laporan polis di IPD Dang Wangi.

Laporan itu dibuat sebagai tindakan susulan kepada dakwaan Sirul bahawa beliau membunuh Altantuya atas arahan pihak tertentu yang tersiar dalam The Sydney Morning Herald dan siasatan dijalankan segera.

Namun, Khalid mengatakan laporan oleh kedua-dua pemimpin DAP adalah berasaskan khabar angin dan pihak tidak akan melakukan siasatan.

Tambahnya, keputusan itu terkandung dalam Seksyen 110(1)(b) Kanun Acara Jenayah yang menyatakan polis tidak perlu meneruskan siasatan jika tiada bukti cukup. -Roketkini.com