Berita

Jelajah penerangan kes Anwar ke seluruh negara, bukti UMNO makin terdesak

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Usaha Pemuda UMNO mengadakan jelajah seluruh negara bagi menjelaskan kes fitnah liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan bukti parti itu semakin hilang sokongan, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Katanya, walaupun Anwar kalah di Mahkamah Persekutuan, namun tetap menang di mata rakyat, sekaligus menyebabkan UMNO semakin hilang pengaruh sehingga terpaksa melakukan sesuatu seperti kempen jelajah untuk mendapatkan semula sokongan.

“Siri jelajah yang bersama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bukan sahaja belum pernah terjadi sebelum ini, malah menimbulkan banyak persoalan.

“Usaha terdesak ini juga merupakan satu pengakuan bahawa biarpun Shafee menang di Mahkamah Persekutuan dengan keputusan 5-0, ,tetapi beliau sebenarnya kalah di mahkamah pendapat awam,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut mencabar Shafee yang mewakili negara dalam Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) supaya mengadakan kempen untuk memenangi pihak antarabangsa.

Keputusan penjara 5 tahun ke atas Anwar mengundang kritikan negara termasuk Germany, Switzerland, Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Kanada dan pertubuhan hak asasi berikutan keputusan tidak adil itu.

Justeru itu Kit Siang turut menyarankan Shafee dan UMNO supaya menimbang semula siri jelajah kempen anti-Anwar itu yang mana bakal menjejaskan pentadbiran undang-undang negara.

Minggu lalu, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa pihaknya akan memulakan satu siri forum untuk menjelaskan sabitan liwat ke atas Anwar.

Kata Khairy, kempen itu perlu dilakukan untuk memelihara maruah UMNO. – Roketkini.com