Berita

KPN jangan sibuk main twitter, perlu tahu beza khabar angin dengan laporan media

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu tahu membezakan antara khabar angin (hearsay) dengan laporan media, kata Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng.

Ini kerana Khalid begitu cepat melatah dan mendakwa kononnya laporan polis dibuatnya semalam bersama Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh mengenai bukti terbaru kes pembunuhan Altantuya ‘berasaskan khabar angin’.

“Mungkin Khalid sudah lama tidak melayari Twitter, dan tidak membaca laporan eksklusif Malaysiakini mewawancara Sirul Azhar Umar yang kini sedang ditahan pihak imigresen Australia.

“Ini membuatkan saya sangsi, apa sebenarnya motif Ketua Polis Negara begitu pantas menolak laporan yang saya buat, ketika kertas laporan belum siap disiasat pegawai penyiasat,” kata Lip Eng.

Ujarnya, khabar angin adalah seperti fitnah terhadap Ahli Parlimen DAP Kampar, Dr Ko Chung Sen yang kononnya ‘mengarahkan supaya subjek tamadun Islam dihapuskan’ di laman Facebook.

Malah kata Lip Eng, Khalid beria-ia menyatakan bahawa kenyataan Dr Ko itu wajar disiasat di bawah Akta Hasutan.

“Ini tidak banyak beza dengan reaksi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membakulsampahkah soalan media mengenai hal tersebut, seolah-olah beliau sudah mengetahui perkara sebenar,” kata Lip Eng.

Justeru itu beliau menggesa Khalid berhenti menatap Twitter dan melaksanakan tugasnya memperbaiki imej polis selain membela nasib anggotanya yang kini terkurung di Australia.

“Saya juga menggesa Khalid menulis surat kepada pihak berkuasa Australia untuk mengesahkan atau menafikan bahawa Sirul telah diwawancara oleh Malayskini.

“Ini cara terbaik memperjelaskan soal ‘khabar angin’,” kata Lip Eng yang turut menambah agar Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegur Khalid.

“Sekiranya Khalid hanya mahu melayan maklumat Twitter dan menganggap laporan berita sebagai khabar angin, suruh sahaja beliau melayan Twitter di rumah.

“Ramai lagi lebih layak menjadi Ketua Polis Negara,” kata Lip Eng. – Roketkini.com