Berita

Pembunuhan Altantuya ada kepentingan awam, DAP cabar Najib dedah motif

KUALA LUMPUR, 20 FEB: DAP mencabar Datuk Seri Najib Razak menjelaskan motif sebenar pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu jika benar dakwaan Koperal Sirul Azhar Umar adalah mengarut seperti yang beliau perkatakan.

Ketua Biro Guaman DAP Gobind Singh Deo berkata, Najib perlu menjelaskan tersebut kerana ia melibatkan kepentingan awam dan telah menimbulkan kebimbangan antarabangsa.

“Najib menyatakan kenyataan Sirul bahawa beliau bertindak mengikut arahan adalah mengarut.

“Jadi bagaimana Najib tahu ia adalah mengarut? Jika dakwaan Sirul itu tidak benar, apakah dia kebenarannya?” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Puchong itu menyatakan, jawapan Najib kononnya kenyataan Sirul itu adalah mengarut juga meletakkan dirinya kini berada dalam keadaan ‘check mate’ dan kini tidak ada pilihan lagi selain menjelaskan motif pembunuhan kepada umum.

“Najib mesti memberitahu apakah yang telah didedahkan dalam siasatan sebagai motif pembunuhan itu. Siapa yang mengarah dan mengapa ia dilakukan.

“Jika tidak tahu, mengapa beliau menafikannya secara terbuka?

“Apakah beliau bersedia menarik balik kenyataannya itu dan mengarahkan siasatan terbuka dan telus dilakukan?” soal Gobind.

Pada majlis sambutan Tahun Baru Cina di Ibu Pejabat MCA semalam menafikan kenyataan Sirul dan mendakwa ia sebagai mengarut sama sekali.

Sirul sebelum itu dalam wawancara menerusi telefon bersama portal MalaysiaKini menegaskan bahawa beliau bertindak mengikut arahan atasan.

Beliau turut menyarankan agar orang atasannya iaitu DSP Musa Safri yang juga merupakan bekas pembantu (ADC) Najib ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dipanggil untuk menjadi saksi pihak pendakwaan.

Tambah Sirul, beliau sebenarnya telah dijadikan ‘kambing hitam’ dalam kes pembunuhan itu dan amat tertekan dengan dakwaan penganalisis politik Abdul Razak Baginda bahawa ‘polis jahat’ bertanggungjawab membunuh Altantuya pada tahun 2006. – Roketkini.com