Berita

Dedahkan jumlah bayaran kepada Shafee Abdullah – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 21 FEB – DAP mempersoalkan jumlah bayaran yang diterima oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bukan sahaja untuk mengetuai pasukan pendakwaan terhadap Datuk Seri Anwar, bahkan untuk menjelajah ke seluruh negara bagi terus mengaibkan Anwar.

Shafee kini diarak ke seluruh negara dalam siri jelajah anjuran Umno dalam rangka meyakinkan orang ramai mengenai hukuman bersalah yang dikenakan oleh Mahkamah Persekutuan terhadap Ketua Umum PKR tersebut.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyataan medianya mengulas bahawa meski Shafee telah menang di mahkamah, beliau tewas di mahkamah rakyat dan pada mata masyarakat antarabangsa.

“Memandangkan pembayar cukai Malaysia membayar Shafee untuk peranannya sebagai ketua pendakwa, mereka berhak tahu berapa jumlah yang dibayar kepada Shafee untuk menyumbat Anwar ke penjara untuk kali keempat,” ujar Kit Siang yang baru sahaja menyambut ulangtahun ke-74 semalam.

“Adakah bayaran bagi khidmat Shafee itu sama banyaknya dengan gaji Peguam Negara selama setahun?

“Jika ya, kenapa bukan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sendiri yang menjalankan pendakwaan?” soal Ahli Parlimen Gelang Patah tersebut.

Menurut beliau lagi, rakyat Malaysia juga berhak mengetahui sama ada wang cukai mereka juga turut dibayar kepada Shafee untuk menjelajah seluruh negara bagi menjustifikasi hukuman terhadap Anwar.

Kit Siang menggesa supaya jumlah bayaran tersebut didedahkan, atau Shafee mesti menjelaskan sama ada khidmat jelajahnya itu dibuat secara ikhlas tanpa bayaran demi Umno.

“Malah sebenarnya, jelajah oleh Shafee ini membangkitkan persoalan sama ada beliau berkhidmat sebagai pendakwaraya (bagi pihak rakyat) atau pendakwa-Umno dalam kes Fitnah II Anwar Ibrahim,” tegasnya lagi.

Pemimpin veteran DAP itu turut bersetuju dengan pendapat Ketua Penerangan Umno Pusat Bandar Taman Chempaka Syed Rosli Syed Harman Jamalullail bahawa jelajah oleh Shafee ini hanya akan memberi kesan balas kepada Umno sendiri, berikutan taktik Shafee yang terus memalukan Anwar, sedangkan beliau tidak dapat menjawab serangan-serangan terbabit.

Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri pun turut menyatakan bantahannya terhadap jelajah tersebut. – Roketkini.com