Rencana

Usahasama Petrosaudi-1MDB untuk kaut untung atas angin

Sarawak Report mendedahkan perjanjian sulit usahasama antara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dengan Petrosaudi International Limited (PSI) bertarikh 29 September 2009, memberikan butir-butir yang menjadi petunjuk bahawa wujudnya muslihat untuk mengaut wang daripada dana 1MDB. Perjanjian ini ditandatangani oleh Tarek Essam Ahmad Obaid, Ketua Pegawai Eksekutif PSI dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Pengarah Urusan 1MDB ketika itu.

Kronologi peristiwa penting yang berlaku daripada perjanjian tersebut adalah seperti berikut:

18 Sep 2009 PSI menubuhkan sebuah anak syarikat milik penuhnya yang dinamakan ‘1MDB Petrosaudi Limited’.
25 Sep 2009 PSI menandatangani perjanjian dengan anak syarikatnya, di mana 1MDB Petrosaudi Limited bersetuju bahawa ia berhutang dengan PSI sebanyak US$700 juta (RM2.5 bilion) sebagai ‘wang pendahuluan’
29 Sep 2009 1MDB membeli 40% saham 1MDB Petrosaudi Limited dengan menyuntik dana berjumlah US$1 bilion ke dalam usahasama tersebut.
30 Sep 2009 “1MDB Petrosaudi Limited” melunaskan hutang US$700 jutanya kepada PSI.

Fakta bahawa PSI menjalankan inisiatif untuk memperbadankan sebuah anak syarikat dengan nama 1MDB pada 18 September jelas menunjukkan bahawa PSI memang sedar bahawa ia sedang menubuhkan kenderaan usahasama bersama 1MDB.

Walaupun hakikatnya 1MDB Petrosaudi Limited hanyalah sebuah rangka yang kosong pada waktu itu, dan menyedari bahawa sebuah perjanjian usahasama akan ditandatangani sedikit masa lagi, PSI telah membikin sebuah dokumen perjanjian di mana “1MDB Petrosaudi Limited” berhutang sebanyak US$700 juta ‘wang pendahuluan’ dengan syarikat induknya. Oleh sebab itu, “1MDB Petrosaudi Limited” terus menjadi sebuah ‘rangka kosong’ yang tiba-tiba mempunyai hutang-hutang berjumlah US$700 juta.

Walaupun mengetahui bahawa “1MDB Petrosaudi Limited” berhutang sebanyak US$700 juta, 1MDB bersetuju melabur sebanyak US$1 bilion (RM3.5 bilion) dalam syarikat yang baru ditubuhkan itu bagi mendapatkan 40% sahamnya. Sebaliknya bagi pihak PSI, baki pegangan 60% saham syarikat usahasama itu dibayar dengan suntikan ‘aset’ bernilai US$1.5 bilion, tanpa sebarang bayaran tunai.

Sejurus selepas perjanjian tersebut ditandatangani, malah mungkin sebelum sempat dakwatnya kering, “1MDB Petrosaudi Limited” melunaskan kesemua US$700 juta (RM2.5 bilion) pendahuluan kepada PSI, menggunakan dana yang baru sahaja diperolehi daripada 1MDB. Ini bermakna PSI dengan pantas berjaya memperolehi tunai mudah US$700 juta untuk kegunaannya.

Soalan yang perlu ditanya ialah kenapa 1MDB melabur US1 bilion ke dalam usahasama yang membolehkan rakan seusahanya serta-merta berjaya mengaut 70% daripada dana usahasama tersebut tanpa sebarang balasan?

Transaksi aneh ini begitu membusuk dan dengan jelas menunjukkan wujud kongkalikong antara PSI dan 1MDB untuk mengaut dana berjumlah US$700 juta itu daripada 1MDB. Dana ini dikumpulkan oleh 1MDB melalui hutang-hutang yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan Malaysia.

Usahasama 1MDB dengan Petrosaudi merupakan pelaburan pertama yang dibuat oleh 1MDB. Jelas sekali bahawa inilah lubang pertama yang dikorek oleh syarikat itu, yang kemudian disusuli lubang-lubang lain yang dikorek untuk menutup lubang-lubang terdahulu. Hasilnya, hutang 1MDB meningkat pantas sejak 2009, mencecah RM42 bilion pada 2014, dan kini ia dilaporkan mempunyai masalah untuk melunaskan hutang-hutangnya.

Datuk Seri Najib Razak yang merupakan Menteri Kewangan, Perdana Menteri, dan juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB mesti bertanggungjawab terhadap bencana berbilion ringgit ini. Beliau mesti dipertanggungjawabkan ke atas tindak tanduk 1MDB dan mesti segera memperjelaskan mengenai transaksi ini serta kerugian akibat daripadanya terhadap Kerajaan Malaysia dan juga pembayar cukai. – Roketkini.com