Budaya

Kisah Romantik Satiyavan dan Savitiri

Bicara BudayaDalam kalangan suami-isteri kaum India, warga emas biasanya merestui pasangan itu dengan mengharapkan mereka hidup seperti Satiyavan dan Savitiri.

Nama Satiyavan ini kedengaran seperti istilah “setiawan” dalam Bahasa Malaysia dan mungkin dianggap merujuk kepada kesetiaan si suami kepada isterinya.

Untuk memahami makna sebenar, eloklah kita mengetahui kisah pasangan itu yang muncul dalam epik Mahabharata. Untuk makluman, epik-epik India bukan sekadar mitos, legenda dan cerita dongeng.

Sebaliknya ia menyampaikan segala aspek Dharma (kebenaran; truth) yang terkandung dalam ajaran Sanathana Dharma (Hinduisme) supaya sesuai dijadikan panduan hidup sepanjang zaman.

Menurut cerita, di tebing Sungai Ravi terdapat Kerajaan Madra yang diperintah Raja Asvapati. Baginda tidak ada anak, lalu berdoa kepada Dewi Savitiri supaya dikurniakan zuriat.

Lapan belas tahun kemudian, doa Asvapati membuahkan hasil. Lahirlah seorang puteri yang dinamakan Savitiri sempena dewi berkenaan.

Puteri Savitiri membesar menjadi seorang gadis yang jelita tetapi memiliki sifat-sifat keberanian seorang putera. Maka, tidak ada sesiapa yang berani meluahkan cinta kepadanya.

Pada suatu hari, Savitiri memberitahu Asvapati bahawa dia telah berpeluang bertemu Raja Dumyatsen. Ada pun baginda seorang yang cacat penglihatan dan pernah memerintah Kerajaan Shalva.

Kecacatan baginda dimanipulasi musuh dalam selimut untuk merampas kerajaan. Maka, baginda bersama-sama anak-isteri dan para pengikut setia tinggal di dalam hutan.

Dewa Yama Datang Mencabut Nyawa

Savitiri terpikat pada anak Dumyatsen iaitu Putera Satiyavan yang kacak dan berbudi pekerti mulia. Keinginan untuk bersuamikan Satiyavan diluahkan oleh Savitiri kepada Asvapati.

Seorang pendeta bernama Narada menyampaikan firasat bahawa Satiyavan akan meninggal dunia dalam masa setahun lagi. Savitiri pula tetap mahu berkahwin dengan cinta pertamanya.

Maka Asvapati bertemu Dumyatsen di dalam hutan untuk berbincang. Dipendekkan cerita, upacara perkahwinan Satiyavan dan Savitiri dilangsung.

Savitiri tinggal di dalam hutan bersama-sama suami dan mentuanya. Walaupun merupakan puteri yang pernah hidup mewah di istana, dia tidak menyesal berkahwin dengan pasangan pilihannya.

Empat hari sebelum tarikh yang difirasatkan oleh Narada tiba, Savitiri memulakan virutam iaitu puasa mengikut budaya India. Dia melakukannya demi mendoakan hayat Satiyavan dipanjangkan.

Pada hari yang ditetapkan sebagai hari terakhir dalam hidup Satiyavan, dia seperti biasa mahu pergi mencari kayu api. Savitiri berkeras mahu turut serta, lalu dibenarkan oleh Dumyatsen.

Semasa berada jauh di dalam hutan, Satiyavan tiba-tiba mengadu sakit kepala, seperti ada anak panah menerobos otaknya. Lalu dia berbaring pada riba Savitiri dan terus pengsan.

Pada waktu itu, Dewa Yama yang bertugas mencabut nyawa manusia muncul dari entah mana. Tanpa membuang masa, Yama mencabut nyawa Satiyavan dan mula berjalan untuk pulang ke Yamaloga.

Tanpa sedikit pun rasa gerun, Savitiri berjalan di sisi Yama dan merayu supaya nyawa suaminya dikembalikan. Yama hanya ketawa dan menasihatkan Savitiri supaya pulang ke rumah bersama-sama mayat suaminya.

Membuat Permintaan Pada Dewa Keadilan

“Jangan cuba menghalang saya. Kata orang tua, apabila kita sudah berjalan tujuh langkah bersama seseorang, maka dia adalah kawan,” Savitiri berkeras untuk mengikut Yama.

Yama yang terharu dengan kata-kata itu bersetuju untuk memenuhi satu permintaan Savitiri. Dia meminta Yama mengembalikan penglihatan bapa mentuanya iaitu Dumyatsen.

Sejurus kemudian, Yama bersedia memenuhi permintaan kedua dan Saviriti meminta supaya Kerajaan Shalva dikembalikan kepada Dumyatsen.

Yama terus berjalan membawa nyawa Satiyavan menuju ke Yamaloga dan Savitiri terus mengikut di belakang. Apabila diberikan peluang membuat permintaan ketiga, Savitiri mahu supaya ayahnya, Asvapati, dikurniakan seorang putera bagi meneruskan pemerintahan.

Tidak lama kemudian, Savitiri berjaya menyejukkan hati Yama dengan menyifatkannya sebagai Dewa Keadilan. Yama dengan penuh gembira memberikan peluang membuat permintaan keempat. Savitiri meminta supaya dikurniakan seorang putera.

Sejurus sebelum tiba di Yamaloga, Savitiri diberikan peluang membuat permintaan kelima dan terakhir.

“Wahai Dewa Yama, kamu sudah menjanjikan saya seorang putera. Sebagai seorang isteri yang patuh pada ajaran Dharma, saya tidak boleh berkahwin lagi. Maka, kembalikanlah suami saya supaya janji kamu boleh menjadi kenyataan,” kata Savitiri.

Menyedari kesilapan teknikal yang dilakukan, Yama mengembalikan nyawa Satiyavan. Maka akhirnya, pasangan itu pulang dengan gembira. Dumyatsen boleh melihat dan Kerajaan Shalva sudah kembali menjadi milik baginda.

Berdasarkan kisah itulah orang sering menggunakan frasa “seperti Satiyavan dan Savitiri”. Ia bukan merujuk kepada kesetiaan si suami, tetapi pengorbanan si isteri yang sanggup pergi hingga ke pintu neraka untuk menyelamatkan suaminya.

* Uthaya Sankar SB adalah peminat bahasa, sastera, filem, seni dan budaya. Beliau juga penulis sepenuh masa.