Berita

Pendidikan tinggi: Perangkaan Kementerian Pendidikan menidakkan kenyataan Menteri

KUALA LUMPUR, 23 Feb: DAP hari ini mempersoalkan mengapa hanya segelintir pelajar dari United Kingdom, Australia, dan Jerman belajar di Malaysia jika benar dakwaan Menteri Pendidikan bahawa pengajian tinggi Malaysia setaraf dengan pengajian tinggi di negara-negara tersebut.

Menurut Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Zairil Khir Johari, sebaliknya sekitar 30,000 pelajar Malaysia sedang meneruskan pengajian di negara-negara tersebut.

“Berlawanan dengan dakwaan menteri bahawa universiti kita setaraf dengan universiti-universiti British, Jerman, dan Australia, perangkaan kementerian beliau sendiri jelas membuktikan bahawa kaitan antara Malaysia dan negara-negara yang kononnya setaraf itu hanya sehala.

“Menurut perangkaan yang sama, 28,869 atau lebih sepertiga pelajar Malaysia di luar negara pada tahun 2013 belajar di UK (15,020 termasuk Ireland), Jerman (452 orang walaupun ada hambatan bahasa) dan Australia (13,397),” ujar Zairil.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh dilaporkan oleh Bernama pada 21 Februari mendakwa bahawa pengajian tinggi Malaysia adalah setaraf dengan pengajian tinggi di tiga negara maju tersebut dan buktinya ialah 10% pelajar institut pengajian tinggi dalam negara ini terdiri daripada pelajar asing.

Zairil bagaimana pun mempersoalkan ‘bukti’ tersebut memandangkan pelajar asing terbanyak di Malaysia kebanyakannya bukan datang dari negara maju.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Bendera mengutip angka terkini daripada Perangkaan Pendidikan Negara yang menunjukkan bahawa pelajar asing paling banyak di Malaysia datang dari negara seperti Iran, China, Indonesia, Nigeria, Iraq, Yaman dan Libya.

“Majoriti pelajar antarabangsa di Malaysia bukan datang dari negara-negara maju, sebaliknya dari negara membangun yang universiti mereka jauh lebih rendah tarafnya,” ujar Zairil.

Tambah beliau lagi, perbandingan lebih dekat ialah Singapura yang universitinya disenaraikan sebagai antara yang terbaik di dunia.

“Sebenarnya kita tidak harus membandingkan universiti kita dengan universiti-universiti di UK, Jerman, dan Australia kerana kita tidak sebanding dengan jiran kita Singapura sekali pun.

“Dari segi kedudukan, National University of Singapore telah jauh meninggalkan ‘saudaranya’, iaitu Universiti Malaya, dengan menduduki tangga ke 22 di dunia dan pertama di Asia,” nyata Zairil.

Menurut beliau lagi, jika dibandingkan dengan negara jiran itu juga, angka pelajar Malaysia di sana jauh lebih tinggi berbanding pelajar negara itu di sini, iaitu 3,016 pelajar Malaysia di Singapura dan hanya 606 pelajar Singapura di universiti Malaysia. –Roketkini.com