Berita

Mengapa hakim Hishamuddin digugur kenaikan pangkat?

GELANG PATAH, 25 FEB: Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria digesa menjelaskan mengapa Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Hishamudin Yunus digugurkan dari senarai kenaikan pangkat kepada jawatan hakim di Mahkamah Persekutuan 16 Februari lalu.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Tun Ariffin yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bertanggungjawab memberi penjelasan memuaskan mengapa kenaikan pangkat Hishamuddin tidak diluluskan.

“Ariffin sebelum ini cuba lari dari tugas membina kewibawaan nasional pada 2013 apabila ditanya kenapa Hishamuddin tidak disenaraikan dalam siri kenaikan pangkat.

“(Waktu itu) Ariffin dakwa kenaikan pangkat tidak dipengaruhi sesiapa kerana ia di bawah kuasa Yang di Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri,” ujar Kit Siang.

Namun, Ariffin tidak menjawab perkara itu dengan jelas kerana urusan kenaikan pangkat bukan seratus peratus di bawah kuasa JAC.

Namun apa yang dilaporkan sebaliknya apabila Hishamuddin disenaraikan pada 2013 menerima kenaikan pangkat tetapi digugurkan atas arahan Jabatan Perdana Menteri (JPM)

Sekali lagi digugurkan

Pada 16 Februari lalu, senarai baru hakim yang menerima kenaikan pangkat sekali lagi diumumkan selepas disyorkan JAC yang diketuai Ariffin, namun nama Hishamuddin tetap tidak tersenarai kerana dilihat kononnya memberi laluan kepada Hakim Zaharah Ibrahim.

“Menyenaraihitam dan menggugurkan Hishamuddin bukti jelas JAC sewenang-wenangnya mengenepikan hakim-hakim yang bebas, berintegriti dan komited menegakkan undang-undang serta perlembagaan dan bukan tunduk kepada tekanan pihak tertentu,” tegas Kit Siang.

Tambah Kit Siang, isu terbaru ini membuktikan unsur-unsur penyalahgunaan kuasa dan rasuah seperti pernah didedah dalam Video VK Lingam.

Video tersebut menggambarkan peguam VK Lingam berbual dengan bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz berhubung pelantikan hakim.

Ia menjadi skandal besar membabitkan ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan, Datuk Seri Tengku Adnan dan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamed.

“Warga Malaysia mahukan sistem lebih baik dari apa yang digambarkan dalam skandal VK Lingam.

“Hakim Hishamuddin dizalimi dengan dua kali dinafikan tempatnya di Mahkamah Persekutuan.

“Bahkan beliau juga disekat dari menjadi hakim Mahkamah Rayuan dan terpaksa menjadi hakim Mahkamah Tinggi selama 14 tahun.

“Adakah dia dihukum kerana mempunyai pemikiran bebas dan penghakiman mengagumkan yang menunjukkan betapa dia seorang yang hormat undang-undang dan perlembagaan?

“Ketua Hakim Negara tak mampu beri penjelasan memuaskan mewakili JAC berhubung pengguguran Hishamuddin.

“Majlis Peguam dan para peguam yang harus bersuara lantang agar didengari (JAC),” tambah Kit Siang. – Roketkini.com