Berita

Penganiayaan terhadap Anwar: UK gesa UMNO-BN hormati hak asasi manusia

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Pemerintah United Kingdom (UK) meneruskan kecaman terhadap tindakan zalim UMNO-BN yang memenjarakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan terbaru ia dinyatakan di Dewan Rakyat mereka 23 Februari lalu.

Dalam jawapan kepada soalan Ahli Parlimen (Parti Buruh) Kerry McCarthy, Menteri Hal-Ehwal Luar dan Komanwel Hugo Swire menggesa kerajaan UMNO-BN mengembalikan komitmen mereka kepada hak asasi seperti yang sering diperkatakan selama ini.

“Seperti saya katakan sebelum ini (10 Februari lalu), hukuman terhadap Anwar telah menimbulkan persoalan yang membimbangkan mengenai kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang di Malaysia.

“Kami percaya bahawa integriti kedaulatan undang-undang adalah bahagian penting ke arah kejayaan, termasuk juga nilai-nilai kesederhanaan dan toleransi.

“Kami menyarankan Malaysia (kerajaan UMNO-BN) untuk menyedari kepentingan keyakinan antarabangsa terhadap sistem kehakiman dan mengembalikan komitmen mereka kepada hak asasi manusia,” katanya.

Hugo menyatakan, pihak Suruhanjaya Tinggi UK di Malaysia juga telah beberapa kali membincangkan mengenai hukuman terhadap Anwar itu dengan beberapa menteri dan pegawai-pegawai Malaysia.

“Pegawai Suruhanjaya Tinggi UK di Kuala Lumpur mengamati perbicaraan kes (kes liwat) ini bersama misi diplomatik lain,” ujarnya

Penegasan tersebut telah didedahkan oleh Setiausaha Eksekutif Biro Antarabangsa DAP Howard Lee Chuan How dalam satu kenyataannya, semalam.

Dalam kenyataan sama, Howard yang juga ADUN Pasir Pinji turut menyatakan, DAP akan meneruskan kerjasama dengan Parti Buruh UK dan Perikatan Progresif (Progressive Alliance) demi membela nasib Anwar di peringkat antarabangsa.

“DAP akan meyakinkan masyarakat antarabangsa bahawa biarpun kami dan rakan Pakatan Rakyat ditindas, tapi kami tetap akan terus berusaha tanpa syarat demi demokrasi, kesederhanaan, kemajuan serta keadilan kepada seluruh warga Malaysia.

“Hukuman yang dikenakan terhadap Anwar jelas merupakan ‘penganiayaan politik’ untuk menyekat perbezaan pendapat, akhirnya ia menyebabkan kehilangan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia dan sistem kehakimannya,” tegas Howard. -Roketkini.com