Berita

Idris Jusoh jadikan Malaysia bahan lawak dunia

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Kenyataan terbaru Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh yang bermati-matian mempertahankan dakwaannya bahawa pengajian tinggi Malaysia bertaraf dunia hanya membuatkan negara sekali lagi menjadi bahan ketawa antarabangsa, kata Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto.

Kasthuri berkata, biarpun beliau menghargai usaha Idris menjelaskan hujahnya dalam posting Facebook semalam, namun penjelasannya itu langsung tidak masuk akal.

“Pada dasarnya, taraf pendidikan negara memang mempunyai ruang untuk diperbaiki tapi dengan mengatakan bahawa ia bertaraf dunia adalah terlalu jauh dari kebenaran dan hanya menambah senarai panjang kenyataan menteri-menteri yang sekali lagi melonjakkan nama Malaysia sebagai bahan lawak jenaka dunia.

“Mungkin Idris memerlukan kursus intensif dalam mentafsir angka dan maksud sebenarnya.

“Walaupun beliau bertanggungjawab terhadap pendapatnya, tapi janganlah berterusan memalukan diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Timbalan Pengerusi Wanita DAP Pulau Pinang itu juga menyatakan, tidak ada gunanya Idris berbangga jika sehingga sekarang kebebasan berfikir, bersuara, berhimpun, mencetak, menerbit dan bertindak di institusi pengajian tinggi terus dicengkam seperti yang berlaku tahun lalu.

“Tahun lalu, Malaysia sudah diketawakan dunia berikutan tindakan keterlaluan terhadap pensyarah undang-undang Universiti Malaya (UM) Azmi Sharom dan penggunaan tuduhan hasutan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta perhimpunan haram kepada mahasiswa.

“Bagaimana universiti bertaraf dunia boleh wujud dalam sistem drakonian di mana kerajaan sentiasa memantau perbezaan pendapat dan melakukan pendakwaan terpilih terhadap sesiapa saja yang tidak bersetuju dengan mereka?” soalnya.

Selepas mendapat kecaman hebat, Idris semalam tetap mempertahankan dakwaannya bahawa pengajian tinggi Malaysia adalah bertaraf dunia dengan mengemukakan contoh baru.

Dalam posting Facebooknya semalam, beliau merujuk pula kepada pencapaian Malaysia dalam satu kajian antarabangsa mengenai sains, perbankan Islam dan ko-kurikulum untuk membuktikan kebenaran dakwaannya.

Kata Idris, empat ahli akademik dari universiti awam juga telah dinamakan minda saintifik paling berpengaruh dunia oleh Thomson Reuters.

Mengulas lagi, Kasthuri menegaskan, hakikat yang tidak boleh dinafikan adalah Malaysia masih tertinggal dalam pelbagai bidang pendidikan.

“Universiti-universiti negara kita langsung tidak tersenarai dalam 6 bidang iaitu klinikal, kesihatan pra-klinikal, sains hayat, sains fizikal, sains sosial, seni dan kemanusiaan, kejuruteraan serta teknologi dalam ‘Times Higher Education World University Rankings’ 2014-2015.

“Sebelum Idris membuat kenyataan tidak berasas, ada baiknya dia bermula di peringkat akar umbi dengan mengadakan audit menyeluruh di sekolah-sekolah yang sepatutnya dibuat tapi ditangguhkan sehingga sekarang,” ujarnya. -Roketkini.com