Berita

DAP gesa KPN beri keutamaan banteras penularan militan ISIS

GELANG PATAH, 27 FEB: Penularan berleluasa kumpulan militan ISIS di Malaysia harus menjadi keutamaan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar, bukannya mengganggu pemimpin Pakatan Rakyat dan NGO, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, usaha merekrut anak-anak muda ke dalam kumpulan militan ISIS yang nampaknya semakin rancak dijalankan menunjukkan pihak berkuasa Malaysia tidak mempunyai taktik berkesan menumpaskan gerakan keganasan itu.

“Walaupun terdapat usaha-usaha oleh pihak polis untuk tangani ISIS sejak enam bulan lalu, pihak berkuasa nampaknya tidak berdaya menanganinya memandangkan ancaman ISIS terus rancak sehingga berjaya mengumpan anak muda Malaysia termasuk remaja lelaki dan perempuan berusia 14 tahun menyertai mereka dalam aktiviti keganasan di Syria dan Iraq,” ujar Kit Siang.

ISIS yang muncul tahun lalu, telah mengumumkan kemunculan khalifah Islam dan mengisytiharkan perang terhadap pihak yang tidak bersama dengan ‘pemerintahan’ baru itu. Dipimpin oleh Abu Bakar Al-Baghdadi mereka banyak melakukan keganasan terutamanya di Timur Tengah.

Terbaru mereka telah membakar hidup-hidup juruterbang warganegara Jordan Moaz Al-Kasasbeh dan memancung 21 orang Kristian Koptik Mesir di persisiran pantai Libya, kononnya sebagai mesej kepada negara-negara Kristian di dunia.

Perkembangan ini justeru membimbangkan apabila ideologi ISIS yang menyebarkan keganasan didasari agama kini disambut oleh sebilangan rakyat Malaysia. Setakat ini sudah 50 orang ditahan kerana terlibat dengan gerakan militan itu.

Sehubungan dengan itu, Kit Siang menggesa KPN untuk memberi keutamaan membanteras ISIS secara bersungguh-sungguh kerana jika dibiarkan, keharmonian dan keamanan di Malaysia berada dalam keadaan terancam seperti mana yang terjadi di Timur Tengah.

“KPN mewakili institusi harus sedar peranan dan tanggungjawabnya.

“Pun begitu, yang jadi kerunsingan rakyat, ialah pihak berkuasa dan polis telah kehilangan arah dalam hal ancaman keselamatan dan fenomena baru IS di Malaysia,” katanya.

Kebelakangan ini polis kelihatan lebih memberi keutamaan untuk mengganggu dan menindas pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis NGO dari selesaikan isu ISIS di Malaysia.

Antara pemimpin pembangkang yang telah menjadi sasaran ialah Pengerusi DAP Perak yang juga Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, Timbalan Ketua AMK Dr Afif Bahardin dan Setiausaha Agung PSM S. Arutchelvan.

Di kalangan aktivis NGO, antara yang diganggu ialah kartunis Zunar, pemimpin mahasiswa Adam Adli, pengasas Lawyers for Liberty Eric Paulsen dan aktivis Bersih Hishamuddin Rais.

“Adakah Khalid sedia untuk hentikan gangguan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat dan aktivis NGO?” soal Kit Siang.

“Pihak berkuasa kerajaan dan politik harus segera menanggapi kerumitan dan cabaran ancaman ISIS terhadap keselamatan dan usaha pembangunan negara Malaysia, dan menyediakan strategi nasional yang berkesan melawannya,” tambahnya lagi.

Pemimpin kanan Pakatan itu turut menggesa Perdana Menteri Najib Tun Razak membentangkan kertas putih mengenai perkembangan terbaru ancaman ISIS di Malaysia apabila Parlimen bersidang 9 Mac nanti. -Roketkini.com