Berita

DAP terkejut agenda pemimpin PAS Dr Zuhdi

BATU PAHAT, 1 MAC: DAP hari ini bimbang terhadap usaha pihak tertentu dalam PAS yang cuba memecahbelahkan parti itu dengan menyingkirkan sesiapa saja tidak sehaluan dengan kepimpinan ulama selepas Muktamar mereka Jun nanti.

Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong berkata, berdasarkan kenyataan terbaru Ketua Pegawai Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki agenda penyingkiran itu nampaknya sudah dirancang dan tersedia.

“Sebagai rakan kepada PAS dan bekas ahli akademik yang banyak menghabiskan masa menyelidik mengenai sejarah parti itu, saya berharap kita dapat bersama dalam Pakatan Rakyat untuk mengalahkan UMNO.

“Namun, kenyataan terbaru dari Zuhdi semalam adalah amat mengejutkan apabila dia seorang Ketua Pegawai Operasi Pusat Penyelidikan menyeru kepada penyingkiran ahli lain yang tidak mengikut kepimpinan ulama.

“Kenyataan sedemikian belum pernah dibuat sebelum ini dan ia amat membimbangkan bagi sesiapa juga yang berharap melihat PAS baru muncul dari perlawanan ideologi semasa untuk bersatu melawan UMNO,” katanya dalam ucapan sempena majlis Rumah Terbuka PR di Batu Pahat.

Zuhdi dilaporkan mendakwa PAS dijangka berpecah menjelang Muktamar mereka pada Jun ini berikutan kemunculan kumpulan yang tidak sehaluan dengan kepimpinan ulama dalam parti itu.

“Saya yakin selepas Muktamar 2015, kumpulan tersebut akan berpecah dari PAS dan tubuhkan parti baru, itulah penyelesaian yang akan menyebabkan kita (PAS) kembali kepada suasana harmoni,” katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas beliau menjadi panelis dalam Wacana Ilmiah: PAS Semalam, Hari Ini dan Esok di Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Justeru itu, Chin Tong berharap PAS tidak melakukan sebarang tindakan melulu yang boleh menjejaskan partinya dan agenda bersama mengalahkan UMNO sekaligus membentuk Malaysia yang lebih baik.

“Garis perlawanan telah tersedia, sama ada PAS perlu bekerjasama dengan UMNO kononnya untuk kepentingan umat Islam (atas nama Kerajaan Perpaduan UG) atau mengekalkan kerjasama tulus dengan PKR dan DAP bagi mewujudkan demokrasi kepada semua rakyat Malaysia,” ujarnya. – Roketkini.com