Sastera

Kannagi Mengajar Nilai Keadilan

Topik berkaitan keadilan bukanlah sesuatu yang baru dalam karya sastera Tamil. Pemerintah biasanya diberikan kepercayaan menegakkan keadilan.

Akan tetapi, apabila pemerintah dan kuasawan gagal menegakkan keadilan dan sebaliknya melakukan kezaliman terhadap rakyat, maka hukuman yang setimpal menanti mereka.

Contoh karya yang sering dijadikan contoh sehingga kini adalah Silappatikaram (“Kisah Gelang Kaki”) yang merupakan salah satu daripada Aimperukapiyam (Lima Karya Besar) dalam sastera klasik Tamil.

Epik berkenaan dipercayai dikarang pada kurun pertama oleh Ilango Adigal iaitu adik kepada Raja Chenguttuvan yang memerintah Kerajaan Cheran di Kerala, India.

Kisah perjuangan menuntut keadilan hadir dalam Silappatikaram selepas watak Kovalan dan isterinya, Kannagi, berpindah dari Kaveri Pattinam ke Madurai.

Asalnya, Kovalan seorang peniaga yang mewarisi perniagaan bapanya. Kannagi juga anak seorang peniaga yang berjaya.

Malangnya, tidak lama selepas berkahwin, Kovalan mula menjalinkan hubungan sulit dengan seorang penari istana bernama Madhavi.

Dipendekkan cerita, selepas Kovalan jatuh bankrap akibat menghabiskan wang kerana khusyuk melayan Madhavi, penari bermata duitan itu menghalaunya.

Kovalan bertaubat dan lembali kepada isterinya. Demi memulakan kehidupan baru, Kannagi memujuk suaminya supaya mereka berpindah ke Madurai.

Sesampai di bandar raya itu, Kannagi mengeluarkan gelang kaki yang disimpannya dengan selamat selama ini.

“Gelang kaki ini mengandungi batu-batu berharga di dalamnya. Bawalah ia ke kedai tukang emas dan jual. Wang yang diperoleh boleh digunakan untuk memulakan perniagaan dan kehidupan baru,” Kannagi berpesan kepada suaminya.

Impian Berkecai Kerana Kesilapan Pemerintah

Tanpa membuang masa, Kovalan membawa gelang kaki itu ke sebuah kedai emas. Harapannya selepas bertaubat adalah untuk memulakan hidup baru dan tetap setia kepada isteri tercinta.

Malangnya impian pasangan suami-isteri itu berdepan masalah besar. Secara kebetulan, gelang kaki milik permaisuri di Kerajaan Pandiya telah hilang.

Raja Nedunjeliyan mengarahkan para pegawai istana membuat operasi mengesan pencuri gelang kaki itu.

Orang yang sebenarnya mencuri gelang kaki permaisuri ialah pemilik kedai emas itu. Dia dalam ketakutan kerana memikirkan nasib dirinya jika tertangkap. Dia tahu bahawa Nedunjeliyan seorang raja yang tegas.

Pada waktu itulah Kovalan membawa gelang kaki milik Kannagi ke kedai emas. Kebetulan corak dan reka bentuk gelang kaki tersebut hampir sama dengan gelang kaki milik permaisuri.

Tanpa berlengah, pemilik kedai melaporkan kepada pegawai istana bahawa Kovalan yang mencuri gelang kaki permaisuri. Pengawal diarah mengheret pencuri itu ke istana.

Sebaik sahaja permaisuri melihat gelang kaki yang ditunjukkan, terus diakui itulah barang kemasnya yang hilang. Tanpa soal-siasat, raja mengarahkan Kovalan dihukum bunuh.

Berbalik kepada kisah Kannagi pula, selepas penat menunggu kepulangan suaminya, dia mula berjalan ke tengah bandar untuk mencari Kovalan. Kannagi risau memikirkan kemungkinan suaminya kena rompak.

Tidak lama kemudian, Kannagi terdengar kisah mengenai seorang lelaki asing yang dihukum bunuh kerana mencuri gelang kaki milik permaisuri. Ternyata pencuri yang dimaksudkan ialah Kovalan.

Kannagi amat terkejut. Dia tertanya-tanya bagaimana suaminya boleh dijatuhi hukuman tanpa disiasat dan diberikan peluang membela diri. Tentu ada konspirasi dan komplot jahat oleh pihak tertentu.

Wanita itu bergegas ke istana dengan penuh amarah. Orang ramai menurutinya kerana sama-sama marah dengan tindakan pemerintah yang berlaku zalim dengan menghukum seorang individu yang tidak bersalah.

“Raja yang kejam mesti menerima hukuman setimpal! Pemerintah yang menzalimi rakyat wajar digulingkan!” Jerita sebahagian penduduk.

Kuasawan Terkhilaf, Rakyat Menderita

Kannagi merupakan seorang wanita yang penuh sopan-santun. Kini dia bertukar menjadi umpama seekor singa betina demi menuntut keadilan. Dengan penuh berani, dia mempersoalkan kredibiliti Nedunjeliyan yang sudah melakukan kezaliman.

Wanita itu mengeluarkan satu lagi gelang kaki yang masih berada dalam simpanannya. Gelang kaki itu dibaling ke lantai balairung istana lalu pecah. Batu-batu berharga bertaburan.

Kannagi meminta gelang kaki yang dirampas daripada Kovalan dipecahkan. Pegawai istana menurut arahan itu. Kandungan gelangan kaki itu juga sama.

Permaisuri mengaku bahawa gelang kaki itu bukan miliknya. Kandungan di dalam gelang kakinya adalah batu-batu permata yang jauh lebih bernilai. Permaisuri mengaku tersilap. Raja mengaku terkhilaf.

“Bukankah terbukti tuanku sudah berlaku tidak adil dengan menghukum seorang yang tidak bersalah? Musnahlah harapan saya dan suami saya untuk memulakan hidup baru selepas menanggung nasib malang sebelum ini,” kata Kannagi.

Nedunjeliyan hanya mampu tertunduk kerana menyedari kesilapan besar yang sudah dilakukannya.

“Musnahlah segala kepercayaan dan keyakinan yang diletakkan oleh rakyat-jelata kepada pemerintahan tuanku,” Kannagi menegaskan dengan marah.

Orang ramai juga bersuara menyokong Kannagi. Nedunjeliyan terdiam kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Raja itu sedar bahawa segala taat setia dan keakuran rakyat sudah musnah sekelip mata.

Kannagi menyumpah kerajaan itu supaya musnah. Sumpahannya menjadi kenyataan apabila gempa bumi tiba-tiba melanda dan keseluruhan bandar Madurai musnah akibat kebakaran besar.

Demikianlah cerita Silappatikaram yang sering digunakan oleh masyarakat India untuk mendidik anak-anak supaya berani menentang kezaliman dan menegakkan keadilan walaupun di hadapan seorang raja yang penuh berkuasa.

Zaman mungkin berubah tetapi mesej serta panduan yang disampaikan menerusi kisah-kisah seperti ini tetap sesuai direnung dan dijadikan pegangan dalam hidup.
________________________________________

[ * Uthaya Sankar SB adalah peminat bahasa, sastera, filem, seni dan budaya. Beliau seorang penulis sepenuh masa.]