Berita

Chin Tong sedia debat Timbalan Menteri Kewangan tentang GST

KLUANG, 2 FEB: Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong mahu berdebat dengan Timbalan Menteri Kewangan Chua Tee Yong berkenaan GST untuk mendedahkan kesan sebenar cukai tersebut kepada rakyat terutamanya para peniaga kecil.

“Saya sedia berdebat dengan Tee Yong di mana-mana tempat di kawasan Labis baik dalam Bahasa Malaysia, Inggeris atau Mandarin tentang isu pelaksanaan GST.

“Daripada hanya memuji pelaksanaan GST, Tee Yong sepatutnya mendengar sendiri suara rakyat yang memilihnya di Labis,” ujar Chin Tong.

Di ambang pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) 1 April nanti, sebilangan besar rakyat Malaysia masih terus berasa bimbang terhadap kesan domino yang bakal terjadi akibat pelaksanaan cukai itu.

Ini termasuklah kenaikan kos pengangkutan serta barang-barang keperluan seharian.

“Secara khusus saya menyeru Tee Yong dan Kerajaan Pusat untuk menambah had perniagaan (yang dikenakan GST) dari RM500,000 kepada RM 1 juta sekurang-kurangnya, dan sebaik-baiknya RM 2 juta supaya perniagaan kecil tidak perlu bertindak sebagai pemungut cukai untuk kerajaan.

“Beban pentadbiran ke atas perniagaan kecil kurang bersedia adalah amat buruk dan perlu ditangani dengan serius,” tambah Chin Tong.

Chin Tong mengatakan pelaksanaan GST telah mengelirukan ramai peniaga-peniaga kecil dan golongan ini tidak wajar ‘ditindas’ dengan pelaksanaan GST.

“Kerajaan harus menghentikan sebarang usaha untuk melaksanakan GST ke atas perniagaan yang belum mendaftar GST. Tarikh akhir untuk daftarkan perniagaan pun sudah tamat pada 28 Februari lalu.

“Namun mereka tidak boleh bersikap keras terhadap peniaga-peniaga kecil (yang belum mendaftar) kerana masih lagi dibelenggu kekeliruan mengenai GST.

“Sepatutnya kerajaan ambil pendekatan mendidik dan bukannya bersifat menghukum,” ujar Chin Tong. – Roketkini.com