Berita

DAPSY seru seluruh rakyat turun himpunan #KitaLawan Sabtu ini

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) hari ini menyeru seluruh rakyat untuk turun ke perhimpunan #KitaLawan Sabtu ini sebagai tanda setiakawan terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua DAPSY Teo Kok Seong dalam kenyataan hari ini mengatakan perhimpunan itu melibatkan semua parti Pakatan Rakyat, pelbagai NGO, terutamanya anak-anak muda bagi mendesak Perdana Menteri Najib Tun Razak meletakkan jawatan.

“Kami menyokong penuh 12 fakta yang dikemukakan oleh #KitaLawan berkaitan kegagalan Perdana Menteri Najib tun Razak menjalankan tugas sebagai pemimpin utama negara.

“Kami menggesa beliau untuk letak jawatan sebagai Perdana Menteri tanpa syarat,” ujar Kok Seong.

Himpunan aman #KitaLawan akan diadakan di depan Pasaraya Sogo, Jalan Raja Laut, pada hari Sabtu, 7 Mac.

Untuk tujuan itu, DAPSY turut meminta kerjasama pihak berkuasa agar perhimpunan itu nanti berjalan dengan jaya tanpa sebarang gangguan dari pihak polis.

“Kami ingin ingatkan pihak PDRM agar hormat kebebasan rakyat untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan yang telah dijamin oleh perkara 10, perlembagaan Malaysia.

“Sebaliknya kami mengalu-alukan bantuan pihak berkuasa untuk lancarkan pergerakan acara pada 7 Mac itu nanti sesuai semangat perlembagaan,” jelas Kok Seong lagi.

“Dianggarkan sekurang-kurangnya 10,000 orang akan datang Sabtu ini.

“Tentang penyusunan perhimpunan pula, kita akan maklumkan kemudian,” kata Kok Seong kepada pemberita.

Himpunan #KitaLawan pada Sabtu ini adalah susulan kepada himpunan-himpunan kecil di tempat yang sama sejak tiga minggu lalu yang menyaksikan sebilangan besar pemuda dan mahasiswa berhimpun di sekitar ibu kota Kuala Lumpur mendesak Najib berundur dari jawatan Perdana Menteri di samping menyatakan setiakawan terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, sidang akhbar yang dihadiri Ahli-ahli Jawatankuasa DAPSY Kebangsaan tadi turut mendesak pihak PDRM mengumumkan segera hasil siasatan dan tindakan susulan berhubung keceluparan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Ismail Sabri yang mengeluarkan kenyataan perkauman apabila menyeru orang Melayu memboikot perniagaan orang Cina di Malaysia.-Roketkini.com