Rencana

Daripada fikir hal pakaian, lebih baik Terengganu tingkat industri pelancongan

Saya amat terkejut dengan laporan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu akan memaksakan garis panduan pemakaian bagi pelancong, terutamanya wanita.

Baru sahaja beberapa minggu sudah ia menyatakan akan menangkap mereka yang tidak sembahyang Jumaat dan membawa mereka menaiki van jenazah sebagai hukuman. Kita masih lagi tertanya-tanya tentang mekanisme bagaimana yang akan digunakan oleh penguatkuasa untuk menangkap mereka yang tidak sembahyang Jumaat, sedangkan mereka sendiri sepatutnya hadir solat Jumaat.

Sebagai negeri yang selama ini menarik minat ramai pelancong asing untuk menikmati keindahan pantai dan lautnya, sambil berjemur dengan pakaian renang masing-masing; saya sedikit hairan kenapa dan bagaimana Terengganu boleh terfikir untuk melaksanakan dasar sedemikian.

Adakah obsesi kerajaan Terengganu ini timbul lantaran laporan bahawa negeri tersebut mencatatkan bilangan pelayaran tertinggi di laman web lucah seperti yang dilaporkan media beberapa ketika lalu?

Saya bersetuju dengan Pengerusi Jabatan Agama Islam Johor yang dilaporkan berkata bahawa jabatan agama negeri tersebut punyai banyak lagi perkara lain untuk dikerjakan daripada mengambil tindakan terhadap wanita yang tidak menutup aurat. Apatah lagi terhadap pelancong. (Rujuk berita disini ).

Daripada merunsingkan hal pakaian pelancong wanita, cauvinis lelaki berakal singkat yang mentadbir kerajaan Terengganu sepatutnya memikirkan bagaimana untuk memperbaiki kualiti kehidupan rakyat negeri itu, membawa masuk pelaburan asing dan juga membawa masuk lebih ramai pelancong asing; memandangkan Terengganu selama ini pun memang menumpukan kepada industri pelancongan.

Saya tidak mahu tahu pendapat MCA, Gerakan dan MIC kerana kerajaan Umno Terengganu bukannya peduli pun dengan parti-parti yang tidak relevan ini.

Tetapi saya ingin bertanya tentang komen menteri-menteri Kerajaan Pusat, sementara masih ada waktu; terutamanya kepada Menteri Pelancongan Dato’ Seri Nazri Aziz sama ada beliau bersetuju dengan dasar ini. Jika tidak, apa yang beliau boleh buat untuk menghentikan langkah-langkah ekstrim sebegini daripada Kerajaan Terengganu?

Saya juga teringin mahu tahu apa pendirian menteri-menteri wanita, dua menteri dan enam timbalan menteri; mengenai hal ini, serta memberitahu orang ramai terutamanya pelancong tentang pendirian mereka itu.

Saya minta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk segera mengekang dasar-dasar keagamaan melampau oleh Kerajaan Negeri Terengganu ini, kerana jika ia tidak dipantau dan dihentikan segera, barangkali mereka akan mengharamkan penjualan pakaian dalam di pasar malam atau pusat beli-belah, atau mengharamkan atlet wanita memakai baju tidak berlengan atau seluar pendek dalam sukan badminton, bola tampar, acara renang dan sebagainya. – Roketkini.com