Wawancara

Aziz Isa: Anak muda DAP dan politik baru di Sarawak (Bahagian I)

Aziz Isa, anak muda kelahiran Sarawak, tidak asing lagi dalam arena politik dan aktivisme di sana, terutamanya di daerah Tupong. Melihat latar keluarganya, terutama neneknya yang merupakan orang penting dalam Barisan Nasional di Sarawak, mungkin orang tertanya-tanya kenapa beliau menyertai DAP.

Roketkini.com berbicara dengan anak muda ini tentang negeri yang disifatkannya sendiri sebagai “Kingdom Of Taib Mahmud” itu.

Boleh saudara ceritakan latar-belakang penyertaan anda dalam DAP dan penerimaan orang di sana terhadap saudara?

Saya bersama DAP mula-mula sebagai intern YB Chong Chieng Jen pada tahun 2013, bulan 8 tahun tahun yang sama saya jadi pembantu khas dia. Ketika itu, orang jadi kenal saya.

Pertama sekali, bila jadi pembantu khas wakil rakyat DAP, jadi hangatlah. Ada orang kata Aziz pengkhianat Melayu, itu stigma biasa sebahagian Melayu terhadap DAP. Ada juga yang kata Aziz tak kenang budi. Dulu masuk universiti kerajaan, UNIMAS, kemudian bila sudah graduasi masuk pembangkang.

Alih-alih, bila ada pusat khidmat inisiatif saya dan aktivis parti di sana, keadaan jadi lagi hangatlah. Yalah, kita mula bantu melalui pusat khidmat, bagi bantuan makanan seperti beras. Orang tak pernah nampak sebelum ini.

Tentang Tupong. Apakah Tupong ini tempat anda berkhidmat? Kenapa memilih Tupong dan apa cabaran kerja-kerja DAP di sana?

Kami memilih Tupong sebab banyak isu dan masalah di Tupong, selain sebab demografi – di sana ada dua kawasan, satu kawasan Melayu yang semuanya di bawah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), iaitu kawasan kampung-kampung Melayu di Sinjan, Tupong, Sejoli, Jitak dan Rahmat.

Satu lagi kawasan di bawah Majlis Perbandaran Padawan (MPP). Ini kawasan maju. Isu di sini senang sikit. Kita letak bendera tak ada orang cabut, isu infrastruktur. Sementara Matang, Sungai Tengah, Segedup, dan Paruh banyak isu jalanraya, perparitan dan perumahan – contohnya, penyewa rumah kerajaan diberitahu selepas enam tahun baru boleh perbaharui kontrak, tetapi belum sempat enam tahun penduduk kena halau. Lagi contoh, jalan di Matang adalah jalan bandar, tapi perparitannya masih parit bumi, bila rumput panjang sampah akan tersumbat.

Apa jadi kalau tersumbat?

IMG_9589Air keluarlah, kemudian jalan ‘jammed’, tak lancar, sesak. Isu paling besar di Matang adalah isu kesesakan jalanraya, kemudian ada juga isu tanah – macam mana tanah kat sana boleh jadi komersial, kawasan sana semakin booming. Ada banyak pasaraya, contohnya Metajaya, The Hub dan lain-lain, harga rumah semakin tinggi, tetapi pendapatan orang di sana semuanya rata-rata middle income. Jadi, secara umum kita banyak tangani isu multi-urban.

Bagaimana pula kawasan DBKU yang lain? Apa DAP buat di sana?

Untuk kawasan DBKU lain, sebab kita kena masuk kampung-kampung, di bawah inisiatif DAP Tupong, kami tubuhkan satu inisiatif yang dinamakan ‘We Help’.

Boleh cerita sikit fasal inisiatif ‘We Help’?

‘We Help’ adalah susulan kepada program Impian Sarawak. ‘We’ bermaksud welfare (kebajikan), ‘h’ untuk health (kesihatan), ‘e’ untuk education (pendidikan), ‘l’ untuk labor (pekerjaan), manakala ‘p’ untuk pension (persaraan).

Dengan welfare untuk tiga bulan sekali kami akan beri bantuan berupa beras, minyak dan gula; health pula kami ada bekalkan kerusi roda, tolong isikan borang baitulmal, zakat dan lain-lain.

DBKU memang kebanyakannya lower income penduduknya, mana yang dekat dengan bandar mereka ini dari golongan miskin bandar.

Isu terbesar di Sarawak menurut Aziz?

Banyak, tapi yang terbesar adalah masalah institusi Islam di sana. Intitusi seperti Baitulmal, contohnya, tidak bebas. Semuanya di bawah satu ‘hidden hand’. Kita tak tahu siapa board of director-nya.

Ada dari kalangan orang-orang tinggi dalam institusi itu mempunyai masalah moral sampai jadi kes polis. Saya sudah buat laporan polis terhadap orang tertentu di sana.

Namun, itu bukanlah masalah utama. Masalah utama adalah pengurusan Baitulmal yang tidak telus. Ia harus diaudit. Sebab Baitulmal adalah badan berkanun. Jadi semua rakyat mempunyai hak meminta dokumen-dokumen awam.

Ini duit orang ramai.

Apa reaksi orang ramai bila Aziz cakap isu Baitulmal yang tidak telus di Sarawak?

DAP Tupong dapat respons positif, orang puji. Sebab ramai yang rungut bila pergi Baitulmal susah betul buat urusan, (terpaksa panjat) bertingkat-tingkat bangunan nak selesaikan borang untuk dapatkan bantuan Baitulmal. Kalau nak banding dengan gereja di sana. Gereja lagi senang untuk kita dapatkan bantuan.

Ini sebenarnya isu yang harus kita selesaikan jika kita tak mahu orang murtad. Kebanyakan orang murtad bukan sebab dia nak murtad sangat. Tetapi sebab kecewa dengan institusi-institusi Islam yang tidak telus, seperti apa yang terjadi kepada institusi Baitulmal di Sarawak.

Maka, jangan salahkan orang-orang murtad, tapi salahkan institusi Islam itu sendiri.

IMG_9456Kita sembang hal anak muda Sarawak pula, macam mana anak muda di sana?

Kebanyakan anak muda tak minat politik sebab terlampau lama di bawah pemerintahan kuku besi Taib Mahmud. Mereka sudah kecewa dengan politik Taib Mahmud. Dah macam ‘Kingdom Of Taib Mahmud’.

Namun, akhir-akhir ini nampaknya mereka sudah mulai minat untuk beraktivisme, cuma tidak ke arah politik kepartian. Mereka lebih memilih untuk bersama pergerakan-pergerakan anak muda di sana.

Ada banyak gerakan di sana, gerakan ‘Sarawak Independent’, ‘Sarawak for Sarawakian’.

Cuma mereka mungkin mereka tidak berapa jelas tentang maksud ‘independent’ itu. Kita sebenarnya, bukannya mahu keluar Malaysia, kita hanya mahukan autonomi sahaja. Sarawak perlukan kuasa untuk tentukan nasibnya sendiri. Tak perlu keluar dari Persekutuan sebenarnya.

Walaupun mungkin saya tidak bersetuju dengan mereka, namun saya merasa bangga dan gembira sebab mereka berusaha berjuang demi Sarawak.

Apa yang membimbangkan adalah usaha-usaha pihak tertentu yang cuba hendak memesongkan anak-anak muda di Sarawak yang sudah mempunyai semangat berjuang untuk negeri mereka.

Jadi, saya fikir kesedaran politik di Sarawak mulai bercambah dengan baik. – Roketkini.com