Berita

DAP cadang bonus kakitangan MBPJ disemak, perlu berdasarkan prestasi

PETALING JAYA, 3 FEB: Keputusan Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ) memberikan bonus tiga bulan gaji kepada kakitangannya harus dinilai kembali agar benar-benar berbaloi dan mengikut Petunjuk Prestasi Utama (KPI)

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran, ini kerana insentif itu wajib diberikan atas penilaian teliti.

“Saya tidak menentang bonus sebagai satu cara memberi ganjaran atau insentif kepada semua kakitangan majlis,

“Namun, ia perlu dilakukan bersama-sama penilaian yang ketat dan telus mengikut prestasi kakitangan berdasarkan KPI yang ditetapkan,” kata Rajiv dalam satu kenyataan.

Rajiv menjelaskan ada elemen penting yang perlu diambil kira sebelum insentif diberikan.

“Persepsi orang ramai terhadap prestasi majlis )MBPJ) harus difikirkan, termasuk pegawai-pegawainya.

“Walaupun MBPJ adalah majlis berprestasi baik di Malaysia berdasarkan penilaian Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, namun masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menjadi lebih bagus,” jelas Rajiv.

Sehubungan itu, Rajiv berkata Jawatankuasa Pilihan Pihak Berkuasa Tempatan (JP-PBT) akan menilai kembali keputusan yang ingin diambil oleh MBPJ dan melihat mekanisme penilaian kakitangannya.

“JP-PBT akan melihat KPI diguna pakai MBPJ, dan bagaimana lebih 90 peratus kakitangan MBPJ boleh mencapai skor yang cemerlang itu.

“Dilihat, hanya 80 peratus sahaja dikatakan mencapai skor tersebut.

“Analisa juga akan dibuat terhadap aspirasi MBPJ seperti majlis perbandaran yang lain agar KPI yang betul digunapakai,” ulas Rajiv.

Tambah Rajiv, analisia tersebut penting, selain meneliti kedudukan kewangan semua 12 majlis bandaran di Selangor, agar mekanisme penilaiannya konsisten, tanpa meminggirkan kakitangan majlis bandaran lain yang berpendapatan lebih rendah.

“Setelah semua itu dilaksanakan, barulah MBPJ dan majlis bandaran lain boleh memberikan insentif kepada mereka yang benar-benar berprestas,” tambah Rajiv lagi. – Roketkini.com