Berita

DAP lapor polis dakwaan Jho Low larikan USD 700 juta dana 1MDB

PETALING JAYA, 4 MAC: DAP hari ini membuat laporan polis berikutan pendedahan portal Sarawak Report bahawa syarikat taikun Jho Low telah melarikan USD700 juta (RM2.55 bilion) dana 1MDB.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua ditemani Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo telah membuat laporan polis di Balai Polis Damansara kira-kira jam 11 pagi tadi.

“Saya telah senaraikan fakta dalam laporan polis menyatakan konspirasi di belakang kehilangan dana USD 700 juta yang dilarikan dari 1MDB melalui syarikat Timur Tengah PetroSaudi.

“Kita mahu polis siasat email-email yang menunjukkan adanya beberapa pihak terlibat, termasuklah Jho Low memujuk 1MDB dan PetroSaudi melakukan satu ‘usahasama’, berakhir dengan USD700 juta disalurkan kepada akaun syarikat milik Jho Low,” kata Tony Pua.

Taikun Taek Jho Low adalah rakan kepada keluarga Perdana Menteri Najib Tun Razak.

Beliau didakwa terlibat dalam jual beli dua hartanah bernilai lebih kurang USD180 juta di Amerika Syarikat (New York dan Beverly Hills) kepada anak tiri Najib, Riza Aziz.

Terkenal dengan gelaran “Paus Parti” di kelab-kelab mewah sekitar New York, Jho Low kini didakwa melarikan dana USD700 juta dari PetroSaudi melalui syarikat miliknya, Jynwel Capital Group, menerusi orang kanannya, seorang individu bernama Seet Li Lin.

Sehubungan dengan itu, Gobind menggesa Ketua Peguam Negara Abdul Gani Patail untuk memberikan tumpuan khusus kepada kes di samping mengarahkan siasatan teliti secepat mungkin.

“Sidang Parlimen minggu depan, kita mahu Ketua Peguam Negara dan Jabatan Perdana Menteri memberikan penjelasan meyakinkan di Perlimen mengenai isu ini.

“Kami dari DAP juga akan bertanyakan tentang perjalanan siasatan kes ini di Parlimen nanti, dan kami harap mereka dapat jawab.

“Ini melibatkan kepentingan awam kerana ia sudah menjadi panas baik di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa,” kata Gobind.

“Kami harap pihak polis akan buat siasatan terperinci setelah laporan yang kami buat hari ini, dan mendedahkan skandal besar yang melanda negara ini,” tambah Tony lagi. – Roketkini.com