Berita

Pulau Pinang naik taraf kemudahan WiFi percuma

GEORGE TOWN, 4 MAC – Pengguna perkhidmatan WiFi percuma di Pulau Pinang kini bakal menikmati kelajuan sambungan yang lebih baik setelah Kerajaan Negeri pimpinanan Pakatan Rakyat itu menaiktaraf kelajuan internet tersebut sehingga 500%.

Program “Penang Free WiFi” adalah sebahagian daripada Inisiatif Wireless@Penang yang dilancarkan pada tahun 2009 oleh Kerajaan Negeri untuk memberi akses internet percuma di ruang-ruang awam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pegawai Khas Media Ketua Menteri Pulau Pinang, Ng Hooi Ting, kelajuan ‘backhaul bandwith’ internet percuma di negeri tersebut akan dipertingkat sebanyak lima kali ganda daripada 75Mbps kepada 375Mbps.

“Oleh itu pengguna WiFi percuma akan menikmati kelajuan internet 1Mbps berbanding hanya 512kbps sebelum ini,” kata beliau.

Usaha menambah tembusan internet di negeri itu kini merekodkan sejumlah 1,550 hotspot di kesemua 40 kawasan DUN negeri tersebut, dengan 600,000 orang pengguna berdaftar dan purata pengguna seramai 20,000 orang setiap hari.

“Kelajuan yang berkurangan dan kesesakan trafik internet menyebabkan Kerajaan Negeri menaik taraf kelajuan internet dengan tambahan 300Mbps demi faedah pengguna,” tambah beliau lagi.

Naik taraf tersebut diumumkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan dan sebuah sidang media yang turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri Chow Kon Yeow serta Ketua Pegawai Eksekutif REDtone International Bhd Shaifubahrim Saleh. – Roketkini.com