Berita

Kerajaan digesa tubuh suruhanjaya khas basmi keganasan terhadap wanita

GEORGE TOWN, 6 MAC: DAP hari ini menggesa kerajaan supaya segera menubuhkan Suruhanjaya khas bagi memerangi keganasan terhadap wanita berikutan kejadian rogol yang semakin berleluasa kebelakangan ini.

Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto berkata, dengan lapan kes rogol dilaporkan setiap hari dan beberapa lagi kejadian yang tidak dilaporkan, penekanan serius perlu diberikan dalam masalah ini.

“Dengan jumlah kes rogol, keganasan seks dan rumah tangga yang berlaku terhadap wanita serta kanak-kanak di negara ini, inilah masanya paling sesuai untuk suruhanjaya ditubuhkan dengan penglibatan ahli-ahli yang berpengalaman, berdedikasi, masyarakat awam, ahli akademik, polis, penguatkuasa undang-undang, wakil politik dan NGO supaya ia dapat direalisasikan dalam bentuk tindakan.

“Berapa banyak lagi kematian harus Malaysia tangisi sebelum suruhanjaya untuk memerangi keganasan terhadap wanita boleh dibentuk?” soalnya dalam satu kenyataan.

Kasthuri yang juga Timbalan Pengerusi DAP Wanita Pulau Pinang menyatakan, wanita di negara ini memerlukan masyarakat yang menghormati mereka dan kerajaan harus memainkan peranan besar untuk memastikan kelangsungannya.

“Negara ini memerlukan kerajaan yang menunaikan apa yang dijanjikan dengan pendidikan, kesedaran dan perlindungan terhadap wanita sebagai salah satu dari keutamaan.

“Berkokok saja di persidangan antarabangsa tapi tidak laksana dan menunaikannya di negara sendiri hanya akan menyebabkan lebih ramai wanita menjadi mangsa keganasan,” tegasnya.

Dalam jawapan Parlimen pada 16 Jun lalu pula, fakta mengenai kejadian rogol di Malaysia adalah sekitar 3,000 kes setahun dengan purata 8 kes setiap hari.

Pada tahun 2013, seramai 2,111 orang kanak-kanak perempuan bawah 18 tahun telah dirogol dan jumlah perogol yang didakwa hanya 461 orang termasuk 14 orang yang disabitkan bersalah.

Kaji selidik oleh pertubuhan All Women’s Action Society (AWAM) dari tahun 1994 hingga 1998 pula mendapati hanya 10 peratus daripada kes yang dilaporkan berakhir dengan perogol dijatuhkan hukuman.

Di Kelantan, Ahad lalu, seorang isteri kepada sukarelawan polis bernama Yashmin Fauzi, 26 tahun, telah ditemui suaminya dalam keadaan separuh sedar dengan lehernya berlumuran darah akibat dikelar.

Beliau bagaimanapun meninggal dunia di hospital kira-kira jam 6.40 pagi pada hari yang sama dan siasatan mendapati beliau mungkin telah dirogol.

Manakala di Alor Star pada 2 Mac lalu pula, seorang wanita Rosniza Fadzil berusia 30 tahun telah meninggal selepas terjun dari kereta bekas suaminya dan kemudian dilanggar sebuah kereta lain.

Beliau yang merupakan tukang masak di Kepala Batas dikatakan sedang menunggang motorsikal untuk ke tempat kerja telah dilanggar dari belakang oleh bekas suaminya sebelum ditarik masuk ke dalam kereta. -Roketkini.com