Berita

Projek kereta api laju Malaysia-Singapura (RTS), apa kesudahannya?

JOHOR BAHRU, 6 MAC: Menteri Besar Johor Datuk Seri Khalid Nordin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar didesak supaya menjelaskan apakah keputusan yang telah dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri berhubung pembinaan jajaran landasan Sistem Transit Rapid (RTS) di negeri itu.

Pengarah Dasar DAP Johor Wong Shu Qi berkata, kedua-dua menteri itu tidak boleh mendiamkan diri berhubung urusan projek terbabit kerana mereka adalah wakil Malaysia dalam mesyuarat tersebut.

“Khalid sekurang-kurangnya perlu menjelaskan jika kerajaan persekutuan telah diberitahu tentang keputusan kerajaan negeri bahawa lokasi stesen terminal RTS adalah di Bukit Chagar.

“Abdul Wahid pula harus memberitahu masyarakat awam jika beliau telah memaklumkan kepada Singapura mengenai keputusan lokasi itu.

“Sebarang kelewatan untuk meningkatkan pengangkutan awam dan sikap melepaskan tanggungjawab kepada orang orang lain dalam sebarang urusan projek prasarana penting ini hanya akan menyebabkan masalah kepada Iskandar Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kerajaan Negeri Johor dan Kementerian Pengangkutan Singapura baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan mengejutkan apabila keduanya memaklumkan bahawa projek RTS masih belum selesai berikutan masalah komunikasi.

Dalam kenyataan sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Luar Bandar dan Pembangunan Johor Datuk Hasni Mohammad memberitahu kerajaan negeri telah mengumumkan kawasan Bukit Chagar di negeri itu sebagai stesen terminal.

Namun, Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura (JMCIM) langsung tidak mengeluarkan sebarang kesimpulan berhubung pertemuan terakhir mereka pada 6 Februari lalu.

Sebaliknya pada 1 Mac lalu, sebagai respon kepada kenyataan Hasni, Kementerian Pengangkutan Singapura menegaskan bahawa mereka masih belum menerima pengesahan rasmi dari Malaysia.

Shu Qi yang juga ADUN Senai menyatakan percanggahan antara kedua-dua kerajaan tersebut jelas membuktikan betapa buruknya komunikasi sesama mereka.

“RTS dijangka mula beroperasi pada tahun 2019, tetapi saya tidak fikir projek ini mampu siap mengikut tarikh yang ditetapkan apabila kedua-dua kerajaan (Malaysia, Singapura) masing-masing menyalahkan antara satu sama lain untuk melambatkan projek,” ujarnya.

Pada 7 April tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata, projek kereta api berkelajuan tinggi termasuk RTS menghubungkan Malaysia dan Singapura akan siap mengikut jadual.

Katanya, fasa pertama kajian kejuruteraan bersama membangunkan penjajaran yang mungkin bagi cadangan RTS telah pun siap. -Roketkini.com