Berita

Guan Eng tak larang, DAP tak boikot #KitaLawan 307, hanya NST dan Bernama bohong

KUALA LUMPUR, Sabtu: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tidak pernah melarang mana-mana pemimpin atau ahli DAP pergi menyertai perhimpunan #KitaLawan di sini hari ini.

Sebaliknya, beliau sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang hanya mengingatkan wakil-wakil rakyat negeri bahawa mereka perlu hadir di majlis besar-besaran untuk memberi bantuan kepada 160,000 warga emas Pulau Pinang hari ini.

Program tahunan itu telah ditetapkan lebih awal lagi sebelum #KitaLawan dirancangkan.

Menurut Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Teo Kok Seong, gambaran yang cuba diberikan oleh NST yang menggunakan berita Bernama tersebut telah menyebabkan DAP diserang dalam media sosial kerana kononnya telah memboikot perhimpunan hari ini.

“Kami ingin mengulangi bahawa DAP tidak pernah memboikot perhimpunan hari ini, malah mempromosikannya saban hari sejak ia diumumkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, DAP tetap dan sentiasa menyokong sebarang inisiatif dan program Pakatan Rakyat berasaskan kepada muafakat konsensus.

Beliau menambah bahawa dalam satu sidang akhbar di Pulau Pinang pagi tadi, Guan Eng telah mengecam NST dan menjelaskan bahawa DAP tidak menentang atau menolak perhimpunan #KitaLawan, dan beliau sudah pun memaklumkan perkara ini kepada Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Sebagai bukti, Kok Seong menjemput semua media massa untuk membuat liputan perhimpunan #KitaLawan hari ini di mana lebih 25 pemimpin DAP dan DAPSY serta para ahli dan penyokong menyertainya.

Katanya, DAP tetap bersolidariti bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi mangsa politik rejim Barisan Nasional. – Roketkini.com