Rencana

Lim Guan Eng galak pemimpin, ahli DAP sertai #KitaLawan hari ini; NST dan Bernama bohong

Sebagai rakan penganjur Pemuda Pakatan Rakyat dan perhimpunan #KitaLawan, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mengutuk tindakan akhbar New Straits Times (NST) yang dengan niat jahat telah sengaja menggunakan tajuk berita “Guan Eng warns DAP assemblymen not to join #KitaLawan rally” – http://www.nst.com.my/node/75272 semalam. (terjemahan: Guan Eng beri amaran kepada wakil rakyat DAP supaya jangan sertai perhimpunan #KitaLawan)

Kami telah mendengar transkrip sidang media Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang di satu majlis semalam, dan memang jelas beliau tidak menentang atau menolak perhimpunan tersebut, sebaliknya beliau mengarahkan DAPSY serta ahli dan penyokong DAP untuk hadir dan mewakili parti menyertainya.

Apa yang Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri katakan ialah semua wakil rakyat Pakatan Rakyat (bukan sahaja DAP) perlu berada di kawasan masing-masing hari ini (Sabtu 7 Mac) kerana ia adalah acara tahunan kerajaan negeri yang telah dilaksanakan selama 6 tahun berturut-turut. Acara menghargai warga emas ini melibatkan 160,000 rakyat yang akan mendapat bantuan kewangan mereka. Lagi pun tarikh untuk acara itu telah ditetapkan lebih awal lagi, sebelum perhimpunan #KitaLawan 307 dirancangkan.

Lagi pula, semua wakil rakyat Pulau Pinang perlu hadir untuk mengesahkan dan menandatangani dokumen 160,000 orang yang layak mendapat bantuan tersebut, dan acara itu tidak boleh dibatalkan atau ditangguhkan.

Lim Guan Eng tidak pernah melarang wakil-wakil rakyat DAP menghadiri perhimpunan #KitaLawan, beliau hanya mengingatkan mereka tentang tugas yang wajib mereka laksanakan.

Memang NST berniat jahat meletakkan tajuk berita yang diambil dari Bernama itu yang menggambarkan kononnya Lim Guan Eng telah melarang wakil rakyat daripada menghadiri perhimpunan tersebut, sekali gus mencerminkan kononnya DAP tidak menyokong perhimpunan #KitaLawan.

DAP tetap dan sentiasa menyokong sebarang inisiatif dan program Pakatan Rakyat berasaskan kepada muafakat konsensus. Pakatan Rakyat adalah harapan kita untuk Malaysia yang lebih baik.

Dalam satu sidang akhbar di Pulau Pinang pagi tadi, Guan Eng telah mengecam NST dan menjelaskan bahawa DAP tidak menentang atau menolak perhimpunan #KitaLawan, dan beliau sudah pun memaklumkan perkara ini kepada Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

DAP telah dikecam oleh banyak pihak kerana tajuk berita dan laporan NST yang tidak bertanggungjawab itu, seolah-olah memberi gambaran DAP memboikot perhimpunan ini.

Kami ingin mengulangi bahawa DAP tidak pernah memboikot perhimpunan hari ini, malah mempromosikannya saban hari sejak ia diumumkan. Bahan-bahan promosi kami boleh dicapai di laman facebook DAP dihttps://facebook.com/DAPMalaysia sejak 26 Februari lalu. Laman bahasa Malaysia Roketkini juga menyiarkan promosi perhimpunan ini dihttps://www.facebook.com/roketkini.

Sementara itu, satu perkara yang berkaitan yang menimbulkan syak wasangka adalah satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh satu kumpulan yang menamakan diri mereka Sekretariat #KitaLawan Utara yang telah disebarkan oleh media sosial – ia tidak mengandungi nama mana-mana pemimpin tempatan PR atau penyelaras yang dikenali oleh penyelaras utama.

Kenyataan itu telah mengutuk Ketua Menteri Pulau Pinang kerana dikatakan memberi alasan dan “menolak” jemputan menyertai perhimpunan Pakatan Rakyat (termasuk satu acara Turun di Seberang Jaya tidak lama dulu).

Memang menyedihkan apabila fakta yang mudah sengaja diputarbelitkan oleh media untuk agenda pihak tertentu. Kami mendesak pihak media supaya lebih bertanggungjawab dan menyiarkan fakta dengan jujur dan profesional.

Sebagai bukti, kami menjemput semua media massa untuk membuat liputan perhimpunan #KitaLawan hari ini di mana lebih 25 pemimpin DAP dan DAPSY serta para ahli dan penyokong menyertainya atas semangat solidariti kami bersama saudara Anwar Ibrahim serta perjuangan kami menegakkan keadilan dan demokrasi.

 

*Penulis adalah Ketua DAPSY Kebangsaan