Berita

Tony Pua tak gentar disaman Perdana Menteri Najib Tun Razak

PETALING JAYA,7 FEB:Walaupun disaman oleh orang nombor satu Malaysia Perdana Menteri Najib Tun Razak, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua berkata beliau tidak gentar dengan tindakan Najib itu.

Semalam, Tony menerima saman dari Najib melalui peguamnya Gobind Singh Deo kira-kira jam 4.30 petang. Saman dari Najib itu mencipta sejarah Malaysia kerana Tony adalah ahli parlimen pertama disaman oleh seorang Perdana Menteri.

“Saya tak gentar dengan saman fitnah Najib Razak itu, kerana saya disokong oleh jutaan rakyat Malaysia yang menuntut tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti dari kerajaan Najib,”ujar Tony bersemangat.

Tony menyifatkan saman itu sebagai tepat pada masanya, kerana isu skandal hutang RM 42 bilion dan ‘kehilangan’ dana RM 2.5 bilion dari 1MDB yang banyak diangkat dan didedahkan beliau kini juga sedang berada di kemuncak.

“Saman ini jelas adalah strategi Najib untuk diamkan saya dan semua kritikan terhadap kerajaan.

“Namun, saya nak beritahu kepada PM Najib, jika itulah rancangannya, dia sudah gagal teruk. Saman itu malah menguatkan motivasi saya untuk terus gali dan dedah lebih lagi korupsi, salah guna kuasa dan kegagalan 1MDB dan kerajaan,” tegas Tony.

Sehubungan dengan itu, Tony mengisytiharkan beliau akan lawan saman Perdana Menteri itu sedaya-upaya di mahkamah.

“Di sini saya isytiharkan, saya akan lawan saman PM Najib. Saya ucap terima kasih kepada banyak peguam yang menawarkan khidmat mereka kepada saya tanpa bayaran,” tegas beliau.-Roketkini.com