Budaya

Arjuna dan emansipasi wanita

[Sempena Hari Wanita, sedikit kisah berkaitan dalam epik klasik India.]

Epik Mahabharata sering diingati dan dirujuk untuk memperkatakan kehebatan serta keperwiraan Arjuna, putera ketiga dalam kalangan Pandawa.

Kelima-lima putera berkenaan dikatakan menjadi suami kepada Draupadi; akan tetapi itu juga kisah yang sudah diketahui umum.

Kisah yang kurang diketahui adalah mengenai seorang lagi isteri Arjuna, iaitu Puteri Chitrangada. Dia anak tunggal kepada Raja Chitravahan di Manipur yang terletak berdekatan sempadan Myanmar.

Dalam epik Mahabharata, terdapat kisah Arjuna dan adik-beradiknya – serta Draupadi – terpaksa tinggal dalam buangan selama 12 tahun akibat muslihat politik golongan Kuru, iaitu sepupu mereka seramai seratus orang.

Chitrangada tidak dibesarkan seperti puteri yang lazim. Sebaliknya dibimbing, diasuh dan dididik menjadi remaja yang lasak, berani, tangkas dan memiliki ciri-ciri kepimpinan. Kesemua nilai itu secara tradisi dikaitkan dengan golongan lelaki.

Puteri berkenaan menjadi seorang pemanah yang hebat. Chitrangada menunggang kuda, mengetuai pasukan tentera diraja dan menjadi srikandi yang hebat, disegani dan dihormati di Manipur.

Pada suatu hari, semasa dalam perjalanan pulang selepas berburu di dalam hutan, Chitrangada ternampak Arjuna yang sedang bertapa di bawah sebatang pokok.

Segera naluri kewanitaan mula muncul dalam diri Chitrangada. Puteri itu jatuh cinta buat kali pertama; malah sebelum menyedari orang yang bertapa itu ialah Arjuna.

“Maafkan saya. Saya sedang dalam buangan. Salah satu syarat wajib adalah bahawa saya tidak boleh terlibat dalam hubungan seks sepanjang tempoh dalam buangan ini,” kata Arjuna.

Chitrangada Berubah Demi Cinta

Sebenarnya, Arjuna tidak teruja langsung memandang Chitrangada. Hal ini kerana penampilan diri puteri berkenaan terlalu perkasa tanpa ada sebarang ciri-ciri kewanitaan yang biasanya menggoda perhatian lelaki.

Chitrangada terpaksa pulang ke istana dengan penuh kesedihan. Dia cuba melupakan pengalaman pahit itu tetapi imej Arjuna terus muncul dalam fikiran dan mimpi sepanjang siang dan malam.

“Aku sedar bahawa aku sudah dididik dan dibesarkan dengan segala ciri-ciri yang biasa dikaitkan dengan putera dan remaja lelaki. Ah! Bagaimana aku boleh secara tiba-tiba menjadi wanita yang mampu menarik perhatian lelaki?”

Demikian fikir Chitrangada sambil berdiri memandang tubuhnya sendiri di depan cermin. Dia sedar tubuh fizikalnya yang bogel pada saat itu mungkin belum cukup menyelerakan bagi kaum lelaki, termasuk Arjuna.

Dipendekkan cerita, Chitrangada berdoa dan memohon dirinya dijadikan menyamai wanita tipikal yang mampu menarik perhatian lelaki. Antaranya, pinggul dan dada yang besar.

Permintaannya itu dimakbulkan dan puteri berkenaan tiba-tiba mengalami transformasi menjadi seorang gadis muda yang cantik, ayu dan jelita serta memiliki potongan tubuh yang pasti menggoda mana-mana lelaki normal.

Chitrangada meninggalkan istana secara senyap-senyap dan pergi mencari Arjuna di dalam hutan. Putera yang sedang bertapa segera membuka mata dan tergoda melihat gadis jelita di depan mata.

Tanpa berselindung, Arjuna mengaku sudah jatuh cinta pandang pertama – tanpa menyedari siapa sebenarnya gadis itu.

“Tapi bukankah tuan sedang melakukan pertapaan? Tidakkah salah jika membiarkan nafsu dan cinta mengaburi mata?” Chitrangada bertanya dengan suara merdu.

Menyedari Kekuatan Sebenar Wanita

“Persetankan syarat-syarat dan peraturan yang terpaksa saya patuhi selama ini. Saya tidak kisah lagi tentang perjanjian untuk tidak terlibat secara seksual sepanjang tempoh pembuangan selama dua belas tahun.”

Ternyata Arjuna mabuk cinta. Kewujudan Draupadi dilupakan langsung. Tanpa segan-silu, Arjuna menyatakan keinginan untuk hidup bersama-sama Chitrangada. Arjuna tidak kisah tentang asal-usul dan latar belakang gadis itu.

Maka, pasangan itu hidup bahagia di dalam sebuah pondok di dalam hutan. Sepanjang siang dan sepanjang malam, mereka bermadu kasih. Arjuna benar-benar puas kerana pasangannya itu mampu memenuhi segala kemahuannya.

Hari berganti hari dan akhirnya sudah sampai setahun sejak mereka tinggal bersama. Segala nafsu seks dan rasa berahi mula berkurangan.

Arjuna merasakan bahawa dia memerlukan lebih daripada sekadar pasangan yang mampu memenuhi nafsu seks.

Arjuna mula terbayang-bayang akan Chitrangada yang pernah datang menyatakan cinta kepadanya lebih setahun lalu. Arjuna mula membayangkan fizikal Chitrangada yang lasak dan perkasa.

Tepat pada masanya, Chitrangada kembali muncul dalam bentuk fizikal seperti sedia kala.

Arjuna terkejut apabila menyedari pasangan yang melayannya di katil selama setahun lalu sebenarnya seorang puteri yang memiliki ciri-ciri keperwiraan.

Pasangan itu pergi bertemu Raja Chitravahan dan meminta izin untuk berkahwin. Baginda dengan penuh gembira merestui mereka berdua.

Di pihak Arjuna, dia sedar bahawa kedudukan wanita tidak boleh diharapkan hanya menjadi pemuas nafsu lelaki. Sebaliknya mereka perlu diberikan ruang untuk memperkukuhkan jati diri dan keperibadian mengikut acuan sendiri.

* Uthaya Sankar SB adalah peminat bahasa, sastera, filem, seni dan budaya. Beliau seorang penulis sepenuh masa.