Rencana

Catatan demo: Reformasi menjelma kembali?

Demonstrasi #KitaLawan menghimbau kenangan 1998, sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim pertama kali dijatuhkan dari tahta nombor dua negara gara-gara fitnah liwat dengan Azizan Abu Bakar. Cuma kita akan tertanya-tanya apa yang akan ia jadi? ‘Reformasi’ sekali lagi?

Aku kira ini kali pertama aku berada dalam perhimpunan aman rakyat atau dengan kata lain ‘ritual demokrasi’ di Malaysia. Di Kaherah dulu, sewaktu demo-demo revolusi – kalaupun aku ada kisah parah di sana – lain suasananya, walaupun tuntutannya persis sekali – rakyat mahu orang nombor satu negara berundur diri. Di Kaherah, rakyat mahu Mubarak, Morsi dan el-Sisi berundur. Di Malaysia orang mahu Najib dan Rosmah Mansor berundur.

Aku ke demo bersama seorang teman wartawan, Alep, yang separa macho dan malu-malu bersemangat mahu pergi awal. Ditemani seorang lagi pemuda, Haziq namanya, yang baru saja dapat keputusan SPM, yang katanya mahu tengok reformasi.

Kira-kira jam 2.30 tengahari penyokong Pakatan Rakyat sudah mengerumuni pintu masuk Masjid Jamek sambil menyorak “Undur, Najib, undur!” beramai-ramai. Aku mencari-cari ruang untuk aku bikin berita. Waktu itu, aku tidak nampak apa-apa bayang reformasi. Yang ada hanya orang ramai bersorak “Undur Najib, undur!”

Kelihatan pemimpin DAP seperti Exco Selangor Tan Cheng Khim, Adun Pasir Pinji Howard Lee, Ahli Parlimen Rasah yang juga Ketua DAPSY Malaysia Teo Kok Seong bersama penyokong himpunan #KitaLawan beramah mesra dengan orang-ramai sambil berbincang mengenai himpunan hari ini.

Himpunan #KitaLawan sebelum ini katanya dijadualkan akan menuju ke Pasaraya Sogo di Jalan Raja Laut. Aku pun tanyalah sama Kok Seong, “Bila kita nak pergi Sogo, orang sudah terlompat-lompat tu!” kata aku sambil tunjuk ke arah orang ramai. Howard di sebelahnya hanya senyum saja.

Namun, menurut Kok Seong semua peserta himpunan #KitaLawan yang berhimpun di Masjid Jamek akan bergerak ke pasaraya itu pada jam 3.30 petang. Aku tanya lagi diri aku apa betul akan ada Reformasi?

Belum sempat aku jawab. Hujan pula turun. Mungkin hujan sengaja buat aku fikir yang bukan-bukan-tentang bini, tentang gaji dan filem Kingsman yang ada di wayang.

Hujan yang mulai turun kira-kira jam 3 petang tidak mematahkan semangat para penyokong himpunan nampaknya. Tidak menghiraukan hujan yang semakin lebat, para penyokong mula bersiap bergerak bersama pimpinan Pakatan Rakyat.

Kira-kira 2,000 atau lebih penyokong himpunan yang mendengar ucapan pimpinan Pakatan Rakyat di Masjid Jamek tetap menyorak kalimah keramat “Reformasi” ketika mula bergerak ke Sogo. Kalimat Reformasi itu aku katakan keramat, sebab ada tanggungan berat jika kita mahu cerita reformasi. Kita akan bercerita tentang pembunuhan pemimpin politik, pembunuhan orang Cina, pembunuhan mahasiswa dan ‘kerennya’ seorang diktator (merujuk reformasi di Indonesia).

Sebab itu aku selalu tak berapa minat nak cerita reformasi di Malaysia. Mungkin sebab Anwar Ibrahim belum dibunuh lagi. Atau kita perlu lihat Fahmi Zainol, Adam Adli dilanyak sampai muka mereka tak boleh jadi hensem lagi. Entahlah. Apapun, kami bergeraklah juga ke Sogo dalam keramaian itu bila nampak kawan-kawan dari Pasar Seni berbondong-bondong menuju ke perkumpulan kami di Masjid Jamek.

Pergerakan #KitaLawan dimulakan sejurus saja ribuan penyokong yang berkumpul di Pasar Seni muncul dari arah Jalan Pudu kira-kira jam 3.40 petang. Wah, nampaknya crowd semakin besar. Mungkin betul ini adalah satu inkarnasi ‘Reformasi 1998’, aku cuba menduga. Tapi dalam hati aku berkata – berapa ramai orang yang kecewa dengan Reformasi 1998?

Kedua-dua kumpulan akhirnya berkumpul dan berarak bersama ke Pasaraya Sogo tanpa menghiraukan hujan yang mulai lebat. Ramai betul, nampak macam 15,000 orang mengerumuni Jalan Raja Laut menuju ke Sogo.

Aku berlari-lari menuju ke Sogo menghindari crowd yang bising-bising. Ada sedikit kacau untuk aku fokus menekan punat huruf telefon Lenovo murahku. Kalimat “Reformasi” bingit dalam suasana hujan yang muram.

Kami pun dengarlah ucapan-ucapan orang politik pembangkang. Semuanya bersemangat cerita tentang solidariti bersama Anwar Ibrahim dan tuntut Najib dan Rosmah yang rambutnya didandan RM 1,200 sekali dandan itu melepaskan kuasa.

Boleh dilihat dalam kerumunan ini orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Iban, OKU, orang berserban, orang berturban, orang bertopi, orang yang seksi, orang yang hensem dan tidak hensem berkumpul dan jerit-jerit “Reformasi!”.

Kemudian bila sudah bosan di Sogo, orang yang di atas kereta – kelihatannya seperti Fariz Musa – pekik beritahu semua kami akan menuju ke KLCC pula. Penat berjalan pergi KLCC dari Sogo. Tapi hujan tadi buatkan kita jadi tak penat. Jadi, kami pun berjalanlah sambil bertegur sapa dengan polis-polis yang sangat ramah-tamah hari ini. Di situ kita tahu – tak semua hari polis jahat, ada hari-hari dia baik, termasuklah hari ini.

Sampai di KLCC kami dengar ucapan pimpinan lagi. Ada yang suka didengar, ada yang bosan. Tapi aku tahu orang tunggu anak-anak perempuan Anwar Ibrahim berucap.

Di sini aku terfikir. Dulu masa reformasi kita ada puteri reformasi, tak ada puteranya. Tahun 2015 di #KitaLawan ini. Aku tak tahu apakah setelah 13 tahun berlalu, kita sudah lahirkan jutaan puteri reformasi, dan menjelmakan putera-putera reformasinya? Atau mungkin anak-anak muda yang berjoget dan berwajah serius hari ini menyeru Najib berundur sudah jadi putera-putera dan puteri-puteri reformasi yang lebih baik dari Nurul Izzah? Atau apakah Nurul Izzah masih layak jadi puteri reformasi?

Tidak tahu angin mana yang datang membawa soalan-soalan separa rasionalku itu. Mungkin gendang dan bau hamisku yang tidak mandi sehari buat aku sedikit khayal?

Itu belum tanya lagi, sudah adakah di hadapan aku ini bapa-bapa reformasi seperti Anwar Ibrahim?

Ini harapan yang tidak relevan mungkin. Tapi itulah apa yang aku fikir bila balik saja dari demo #KitaLawan tadi. Apapun yang ada. Perlawanan antara kita dan kejahatan UMNO dan Barisan Nasional serta juak-juaknya tetap akan diteruskan – untuk sebuah reformasi yang jelma dan tidak jelma. -Roketkini.com