Berita

DAP desak Najib letak jawatan sebagai Menteri Kewangan sekarang

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Selaras dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang 1MDB, DAP menuntut agar Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan bagi membolehkan siasatan yang telus dan bebas dibuat terhadap syarikat milik kerajaan Malaysia tersebut.

Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan Liew Chin Tong berkata beliau telah berkali-kali meminta kerajaan Malaysia melantik seorang Menteri Kewangan sepenuh masa untuk menangani ekonomi negara, khususnya sewaktu krisis dan kemungkinan berlakunya kegawatan ekonomi.

Dengan itu, katanya, kenyataan Muhyiddin adalah tepat dengan masanya untuk mendesak Najib mengundur diri daripada memegang jawatan Menteri Kewangan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kluang berkata, Muhyiddin dalam kenyataannya baru-baru ini telah menuntut supaya:

  1. Ketua Audit Negara memeriksa kira-kira 1MDB secara bebas dan tanpa gangguan mana-mana pihak, dan menyusur akaun sehingga ke tahun 2009 apabila 1MDB ditubuhkan, dan bukan setakat akaun tahun 2013.
  2. Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) boleh mula menyiasat 1MDB tanpa perlu menunggu hasil siasatan Ketua Audit Negara.
  3. Kerajaan dilarang daripada menyelamatkan (bail out) 1MDB, dan Muhyiddin mempersoalkan cadangan penstrukturan semula 1MDB yang melibatkan penjualan tanah Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia yang dibeli dengan harga murah  yang boleh menyebabkan kerajaan menanggung rugi.

Dalam kenyataannya, Chin Tong menjelaskan bahawa ini adalah petanda paling jelas di mana Muhyiddin telah mencabar kepimpinan Najib.

“Walaupun Najib masih boleh bergayut dengan kuasa Perdana Menteri buat sementara waktu, adalah menjadi tanggungjawab Kabinet untuk mendesak Najib supaya meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan bagi membolehkan siasatan penuh dan bebas dilaksanakan terhadap 1MDB,” katanya. – Roketkini.com