Berita

DAP puji kenyataan Muhyiddin, bukti ada menteri tak yakin dengan pengurusan 1MDB

PETALING JAYA,8 MAC: DAP mengalu-alukan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu 1MDB diaudit penuh tanpa apa-apa usaha menyelamatkan syarikat itu dengan menggunakan wang rakyat.

Kenyataan terbaru Muhyiddin itu menunjukkan ada menteri kanan tidak percaya dengan pengurusan 1MDB yang didedahkan pelbagai pihak terdapat salah laku penggunaan dana sehingga kehilangan RM2.5 bilion mengakibatkan syarikat itu menanggung hutang sebanyak RM42 bilion.

Sehubungan dengan itu, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua dalam kenyataannya memuji sikap Muhyiddin itu yang katanya adalah sangat berlawanan dengan sikap menteri-menteri kabinet yang selalunya diam diri sahaja.

“Malaysia boleh menarik nafas lega buat sementara kerana kita tahu tak semua menteri dalam kabinet itu buat bodoh tak boleh nampak salahlaku 1MDB. Muhyiddin nampaknya telah mengubah salah faham masyarakat terhadap sikap sesetengah menteri kabinet (yang biasanya diam sahaja).

“DAP ingin katakan kami menyokong penuh kenyataan Muhyiddin tentang salahlaku pengurusan 1MDB, khususnya tentang kenyataan beliau yang tidak mahu adanya usaha menyelamat 1MDB menggunakan dana awam, lebih-lebih lagi sebelum Ketua Audit Negara menyiapkan audit forensik terhadap akaun 1MDB sejak tahun 2009,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Muhyiddin telah dilaporkan berkata bahawa Lembaga Pengarah 1MDB perlu memberi penjelasan tentang beberapa urusniaga yang kelihatan tidak memberikan keuntungan jangka panjang kepada syarikat dan kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri juga menegaskan bahawa sebarang usaha untuk menangani isu 1MDB tidak wajar melibatkan tindakan menyelamat (bail out) syarikat tersebut dengan menggunakan dana awam. – Roketkini.com