Rencana

Wanita perlu bebas diri dari patriarki dan cauvinisme, bersama lawan penderaan, keganasan

Kempen ‘Wake Up To A Good Cause’ oleh Marie Claire Malaysia dan Women’s Aid Organisation (WAO) bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan memberi setiap wanita yang pernah mengalami penderaan satu suara selain mengutip dana untuk salah satu NGO yang ditubuhkan khusus bagi memperkasa wanita didera di negara ini.

Satu dalam setiap tiga wanita di dunia ini adalah mangsa keganasan. Sementara itu, kira-kira 39% daripada wanita Malaysia telah didera secara fizikal, mental atau emosi. Walaupun penderaan fizikal biasanya lebih jelas, yang sama tidak boleh dikatakan untuk penderaan mental dan emosi.

Ironinya, walaupun kempen ini bertujuan untuk menamatkan keganasan dan penderaan terhadap wanita, tetapi ia telah menjadi sasaran keganasan terhadap wanita di dalam media sosial oleh pihak tertentu. Kontroversi meletus sejak beberapa hari lalu ke atas kempen ini semata-mata kerana gambar untuk kempen tersebut diambil dalam bilik tidur, kamar mandi, dan dapur, untuk menggambarkan aktiviti pertama yang dilakukan selepas bangun tidur. Saya tidak pasti tentang beberapa orang lain, tetapi perkara pertama difikirkan tentang katil sepatutnya tidur.

Daripada memberikan fokus kepada tujuan kempen ini, ‘pendera’ lebih suka merendahkan wanita-wanita yang sedang berusaha meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kempen ini. Yang peliknya, beberapa komen-komen ini datang dari wanita sendiri.

Satu contoh ialah kenyataan Ketua Penerangan Puteri Umno Haryaty Hamzah yang mengutuk saya mengambilan bahagian dalam kempen dengan mengatakan “Ia perlakuan yang memalukan, Dyana harus fikir cara lain yang lebih sopan daripada bergambar dengan gaya sebegitu di bilik tidur.”

Komen daripada sayap yang sepatutnya mewakili golongan wanita muda profesional dalam Umno adalah amat mengecewakan, kerana gambar wanita yang diketengahkan di dalam majalah tersebut bukannya tidak senonoh malah tidak berbeza daripada apa yang dilihat di iklan setiap hari. Apakah beliau mencadangkan bahawa wanita tidak dibenarkan untuk mengambil gambar yang baik dan kreatif untuk menggalakkan usaha-usaha untuk membantu wanita lain? Kempen tersebut tidak terhad kepada model kerana penganjur berusaha untuk menampilkan wanita yang memberikan inspirasi

Jelas sekali, Puteri Umno lebih suka judge a book by its cover, dan dengan berbuat demikian hanya terus menindas wanita dan bukannya membebaskan mereka. Jika gambar yang tidak bersalah dan tidak menjolok mata, membuatkan mereka terbayang aksi kurang enak, maka mungkin tanggapan mereka yang bermasalah. Ia adalah memalukan bahawa mereka tidak boleh menyalurkan sumber dan tenaga mereka ke dalam meningkatkan kesedaran dan membantu untuk menyelesaikan isu-isu wanita sebenar dan bukan mencaci wanita lain yang sedang cuba untuk menyumbang kepada tujuan yang baik.

Melainkan kita keluar daripada patriarki dan cauvinisme yang sedang melanda masyarakat kita, kita tidak akan dapat memperkasakan golongan wanita yang jumlahnya separuh dari populasi negara ini. Sebarang percubaan untuk menidakkan usaha itu hanya regresif. Ambil sebagai contoh, India mengharamkan dokumentari BBC kontroversi, India’s Daughter, berkenaan kes rogol beramai-ramai dan pembunuhan seorang gadis muda di Delhi. Dalam filem itu, salah seorang lelaki disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman mati bagi kesalahan rogol dan bunuh telah berkata “perempuan yang jauh lebih bertanggungjawab dalam kes rogol berbanding lelaki”. Pernyataan sedemikian memang mengejutkan, tetapi sikap tersebut adalah jauh lebih biasa daripada yang kita yang kita jangkakan.

Siapa boleh lupakan kenyataan kolumnis kontroversi Ridhuan Tee menulis membuat komen yang sama dalam satu artikel yang ditulisnya bulan lepas, di mana beliau berkata bahawa wanita menggalakkan rogol dengan “mendedahkan dan menunjukkan” tubuh mereka. Ini adalah sikap yang tidak menghormati wanita yang perlu kita basmi. Walau bagaimanapun, kita tidak akan berbuat demikian jika wanita itu sendiri tidak respek diri mereka sendiri dan wanita lain.

Bagi dokumentari India’s Daughter, pengharaman oleh kerajaan India telah mendorong BBC menyiarkan dokumentari yang lebih awal daripada yang dirancang. BBC berpendapat filem dokumentari itu mewakili “an important account of an event that galvanised Indian opinion to ensure such tragedies are not repeated”. Saya memuji BBC atas tindakan tersebut, kerana sekiranya tiada pendedahan berkenaan keganasan terhadap wanita, kita tidak akan dapat menangani masalah ini yang telah menjadi endemik di rantau kita ini.

Saya cadangkan saudara saya dalam Puteri Umno boleh belajar satu atau dua daripada menonton dokumentari itu sendiri. Mungkin selepas berbuat demikian mereka boleh mempelajari keperluan untuk menghormati dan melindungi hak-hak wanita untuk membantu mewujudkan masyarakat yang bebas daripada keganasan terhadap wanita.

Selamat Hari Wanita Sedunia!